Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, semalam, adalah isyarat bahawa rakyat tidak suka dipermainkan sehingga mendorong kepada ‘gelombang’ hampir sama pernah tercetus pada 2018.

PRN Johor: Keputusan PRN Tanda Rakyat Tak Suka 'Dipermainkan'

Bagaimanapun, gelombang ditafsirkan sebagai sentimen penolakan itu ditujukan kepada Pakatan Harapan (PH) kali ini, apabila cengkaman di beberapa kubu kuat gabungan pembangkang berjaya ditembusi Barisan Nasional (BN).

Timbalan Pengerusi BN yang juga Pengarah PRN Johor BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika mengutarakan pendirian sedemikian berkata rakyat menuntut pembelaan dan dasar yang berupaya memacu sosioekonomi mereka apabila mandat diberikan.

Seandainya tanggungjawab itu gagal dipenuhi dan mengundang penderitaan masyarakat dalam pelbagai aspek, beliau berkata, rakyat akan sentiasa ingat, meskipun pemimpin politik kembali menabur ‘janji melangit’ ketika berkempen.

Jelasnya, apa yang boleh beliau baca daripada keputusan PRN Johor hari ini (semalam) ialah terdapat apa yang dipanggil gelombang, seperti mana BN ditolak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), empat tahun lalu.

Tambahnya, gelombang sama dihadapi, terutama oleh PH kerana PKR mengalami banyak kekalahan, begitu juga DAP di tempat kubu kuat mereka.

Katanya, ia tandanya rakyat Johor memberi suatu isyarat yang amat kuat bahawa mereka jangan dipermainkan. Mereka memerlukan sebuah kerajaan yang benar-benar terus membela mereka.

Ujar beliau, sejahterakan rakyat, sejahterakan negara, meningkatkan ekonomi. Bukan sebuah kerajaan yang diberikan mandat, tetapi tidak tahu mengurus dan akhirnya rakyat yang akan menderita, negara menjadi kucar-kacir.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan BN melakar kemenangan selesa dengan mendapat majoriti dua pertiga, iaitu 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, diikuti PH 11 kerusi, Perikatan Nasional (PN) (tiga) dan masing-masing satu kerusi oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) serta PKR.

Peratusan keluar mengundi bagi PRN Johor Ke-15 ialah 54.92 peratus atau 1,426,573 orang, iaitu kadar terendah berbanding Melaka dan Sarawak, yang masing-masing 65.85 serta 60.67 peratus.

Pasca PRN Johor, Mohamad berkata, tiada istilah ‘bulan madu’ bagi BN, sebaliknya perlu mengambil beberapa iktibar.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, BN harus ingat bahawa gelombang sama bakal didepani mereka sekiranya gagal mengurus pentadbiran penggal baharu Kerajaan Johor.

Jelas beliau, setiap lima tahun kita akan berdepan rakyat, maka kemenangan hari ini pun, BN terutama Kerajaan Johor baharu ini perlu mengambil iktibar kerana jika kita tidak dapat mengurus dengan baik, rakyat akan menolak kita.

Seperti mana rakyat menolak PH di Johor. Apa juga yang jelas pada beliau hari ini (semalam) ialah pihak sana mengatakan bolehlah BN menang kerana orang banyak tak keluar.

Jelasnya, yang tak keluar itu adalah pengundi mereka. Pengundi lain, pengundi BN, keluar. Jadi maknanya pengundi mereka sendiri yang menolak mereka.

Katanya lagi, itu mesej, isyarat yang dapat beliau baca. Alhamdulillah, terima kasih kepada semua pengundi Johor. Sebagai pengarah pilihan raya, tugasnya sudah selesai.

Mengambil pendekatan berhemah dalam berpolitik, Mohamad berkata, jentera BN cuba untuk tidak melukakan hati sesiapa, dengan menjaga tutur kata sepanjang tempoh berkempen selama dua minggu.

Bagaimanapun, beliau yang mewakili ribuan jentera parti memohon maaf kepada pihak berkaitan seandainya ada sebarang kekhilafan.

Katanya, walaupun mereka cuba untuk tidak melukakan hati sesiapa, menjaga tutur kata, tetapi jika ada apa-apa kesilapan, terkasar bahasa, terlanggar perbuatan, beliau bagi pihak anak-anak buahnya, yang berkempen selama lebih dua minggu, memohon maaf.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply