Tiga maut manakala lima yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah Proton Wira dengan sebuah van di Jalan Sungai Sayong, Simpang Renggam di sini lewat petang tadi.

TIGA maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Proton Wira dengan sebuah van di Jalan Sungai Sayong, Simpang Renggam, Kluang Johor. FOTO tular.

Menurut maklumat awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Khairul Rosli, 17, dan Muhammad Haziq Haiqal Mohd Faizal, 20.

Mereka adalah pemandu dan penumpang belakang kereta berkenaan.

Difahamkan, seorang lagi penumpang hadapan kereta turut maut selepas dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Haziq Kamarul Azhar, 17, sebelum itu berjaya dikeluarkan dari tempat duduknya oleh orang awam di lokasi kejadian.

Seorang lagi penumpang belakang kereta yang tidak dapat dikenalpasti identitinya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba dan sudah dibawa ke HEBHK.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salih, daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam berkata, sebuah jentera FRT bersama lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 4.29 petang.

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati berlaku kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah van dan sebuah kereta jenis Proton Wira.

“Terdapat empat mangsa yang tersepit di dalam kereta Proton Wira dengan dua daripadanya iaitu di bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang kereta disahkan maut di lokasi kejadian oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“PKO bertindak mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan memotong manakala seterusnya empat mangsa cedera diserahkan kepada pihak ambulan KKM.

“Mangsa yang meninggal di serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan setelah semuanya selesai serta dalam keadaan selamat PKO lapor bertolak balik ke balai,” katanya.

Katanya, operasi ditamatkan pada 5.14 petang tadi.

Sumber : Harian Metro

Share.

Leave A Reply