Provokasi Terhadap Polis. Ini Hukuman Diperintah Oleh Mahkamah.

| January 25, 2021 | 0 Comments

Lakukan Provokasi Terhadapa Polis. Ini Hukuman Diperintah Oleh Mahkamah. | GEORGE TOWN: Empat lelaki yang didakwa melakukan provokasi terhadap penjawat awam yang juga anggota polis sewaktu kejadian kemalangan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Sri Tanjung, Tanjong Tokong, Pulau Pinang di diperintah melakukan kerja-kerja amal oleh Mahkamah Majistret George Town selama dua bulan.

Majistret R. Manomani memutuskan keempat-empat tertuduh, iaitu Shahrizal Anuar, 38; Mohd. Safwan Akbar, 29; Mohd. Hafiz Nasri Shah, 28; dan Mohd. Danial Al Arabia Mohd. Rafi, 24, menjalani perintah kehadiran wajib (PKW) tiga jam setiap hari.

Hukuman diputuskan selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan cara membuat provokasi terhadap tiga anggota polis 17 Januari lalu pada jam 5.40 petang di simpang lampu isyarat Jalan Tanjong Tokong.

Bagi kesalahan itu mereka dituduh mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, di mahkamah sama, keempat-empat tertuduh bersama tiga lelaki yang lain iaitu Azizul Mohamad, 45; Mohd. Idris Ayob, 25; dan Danish Ikmal Mohd. Shafiq Samugam, 20; diperintah membayar denda masing masing RM700 atas pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lokasi dan masa yang sama.

Mereka sebelum itu dituduh melakukan kesalahan mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.

Sabit kesalahan mereka boleh dihukum denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rais Imran Hamid, manakala keenam-enam tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dan Danish Ikmal diwakili peguam, Mohd. Rafiee Noordin.

Media sebelum ini melaporkan tujuh lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden sekumpulan individu yang mengepung dan menghalang tugas polis semasa kemalangan membabitkan dua lelaki di Tanjong Tokong pada 5.30 petang Ahad lepas.

Insiden itu tular dalam media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen termasuk ada yang menuduh anggota polis sengaja menendang motosikal terbabit sehingga kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah.

Polis bagaimanapun menafikan penglibatan anggota berkenaan dan memaklumkan dua lelaki terbabit melanggar sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat itu ketika melarikan diri daripada anggota polis.

Sumber : Astro Awani

Tags: , , , , , ,

Category: INFORMASI, JENAYAH, KELUARGA, KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *