Pukul Bekas Isteri Dengan Topi Keledar, Lelaki Didenda RM4,000 | Seorang pengurus kredit didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memukul bekas isterinya menggunakan topi keledar bulan lalu.

Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali turut memerintahkan tertuduh Mohd Farhann Ahmad, 29, menjalani hukuman penjara empat bulan, jika dia gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Mohd Farhann didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas wanita berumur 30 tahun itu, menggunakan topi keledar di lobi sebuah kondominium di Jalan Sentul Perdana, di sini pada 1 tengah hari, 19 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, atau denda, atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zuraidi Zulkifli, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kepada tertuduh sebagai pengajaran kepadanya supaya bertindak lebih rasional pada masa depan.

Namun, peguam Muhammad Rhastdan Abdul Wahab yang mewakili Mohd Farhann, memohon hukuman ringan dengan alasan itu kesalahan pertama anak guamnya.

“Tertuduh juga mempunyai tanggungan empat anak selain pengakuan tertuduh pada peringkat awal sudah menjimatkan masa dan kos mahkamah,” kata Muhammad Rhastdan.

Mengikut fakta kes, bekas isteri tertuduh (pengadu) didatangi tertuduh untuk berjumpa bagi mengambil sijil nikah, bagaimanapun pengadu memaklumkan sijil nikah hilang meskipun sudah dicari di rumahnya.

Pada masa sama pengadu meminta motosikal miliknya yang digunakan tertuduh, namun ketika ingin mengambil anak kunci motosikal berlaku pertengkaran dan secara tiba-tiba tertuduh memukul pengadu menggunakan topi keledar.

Sumber : HMetro

Share.

Leave A Reply