Pukul Dan Langgar Rakan Sendiri Sehingga Maut.

| July 28, 2020 | 0 Comments

Pukul Dan Langgar Rakan Sendiri Sehingga Maut. | Seorang lelaki melanggar dan memukul rakannya sehingga maut dalam kejadian di sebuah kawasan perumahan dekat Taman Dahlia, Mak Mandin, Butterworth, pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.50 pagi.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, polis menemui lelaki berusia 43 tahun itu dalam keadaan meniarap di sisi sebuah motosikal.

“Hasil siasatan, mangsa dipercayai dilanggar sebuah kereta dan diseret beberapa meter sehingga merempuh kereta lain yang diparkir di tepi jalan.

“Tidak cukup dengan itu, pemandu kereta terbabit keluar dari kenderaannya dan memukul mangsa sehingga tidak bernyawa sebelum melarikan diri,” katanya kepada media, hari ini.

Noorzainy berkata, pemeriksaan terhadap mangsa menemui kesan kecederaan di kepala dan mayatnya dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat.

Katanya, susulan kes itu, polis sudah menahan lelaki berusia 36 tahun yang dipercayai terbabit dengan insiden pembunuhan berkenaan.

“Semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau, termasuk juga mangsa.

“Motif suspek bertindak sedemikian ke atas rakannya masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

 

Sumber : MyMetro

Tags: , , , , , ,

Category: INFORMASI, JENAYAH, KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *