Ramai Tersentuh Lihat Tindakan Graduan Ini, Mujur Ada Yang Baik Hati | Georgetown: Nekad tumpang motosikal pengguna jalan raya, demikian yang dilakukan graduan Universiti Sains Malaysia (USM) selepas kereta yang dinaikinya terperangkap dalam kesesakan di atas Jambatan Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan, R Kevin, 28, ketika itu sudah lewat bagi menghadiri Upacara Konvokesyen ke-59 USM yang dijadualkan berlangsung pada jam 10 pagi.

Menurutnya, dia serta ibu dan bapanya bertolak ke USM dari rumah mereka di Seberang Jaya, di sini, pada jam 6.30 pagi.

Namun katanya, dia tidak menyangka insiden kemalangan yang berlaku di atas jambatan berkenaan menyebabkan trafik tidak bergerak dan kesesakan luar biasa.

“Pada mulanya, saya menyangka kesesakan itu tidak berpanjangan tetapi apabila sudah melepasi jam 9 pagi dan kenderaan masih tidak bergerak, saya nekad turun dari kereta serta mencari alternatif lain bagi ke upacara itu.

“Memang panik dan hanya itu sahaja yang saya fikirkan iaitu mahu tumpang penunggang motosikal kerana impian saya cuma mahu naik ke pentas bagi menerima ijazah,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Kevin berkata, dia kemudian turun dari kenderaan sambil memegang jubah konvokesyen serta mencuba nasib dengan menahan motosikal yang melalui laluan itu.

Katanya, mujurlah ada penunggang motosikal yang sudi berhenti dan membantu membawanya ke USM.

“Dalam keadaan tergesa-gesa itu, saya tidak sempat berbual panjang dengan insan mulia berkenaan namun saya ambil kesempatan ini bagi mengucapkan terima kasih kepadanya.

“Memang terharu dengan bantuannya dan tanpa pertolongan itu, saya mungkin tidak sempat merasa naik ke pentas pada hari ini,” katanya lagi.

Sementara itu, foto Kevin memegang jubah sambil berdiri di atas jambatan berkenaan sambil mencuba nasib menahan penunggang motosikal yang menghala masuk bahagian pulau, turut tular di media sosial.

Foto itu mendapat reaksi warganet yang mendoakan supaya graduan terbabit selamat tiba pada waktunya bagi menghadiri upacara berkenaan.

Sementara itu pihak pengurusan Universiti dan Sekretariat Upacara Konvokesyen Ke-59 USM turut menangguhkan upacara sidang kelima berkenaan selama 30 minit berikutan kesesakan itu.

Upacara Konvokesyen yang dipengerusikan Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Dr Zulkefli A Hassan itu sepatutnya bermula pada jam 10.00 pagi ditangguhkan hingga ke 10.30 pagi.

Terdahulu, kesesakan trafik berkenaan berlaku berikutan insiden kemalangan maut membabitkan lori seberat tiga tan dengan treler, yang mengorbankan pemandu dan kelindan lori di KM8.6 Jambatan Pulau Pinang dari arah Prai menghala ke Gelugor, di sini, kira-kira jam 5 pagi.

Difahamkan, kesesakan lalu lintas lebih 25 kilometer itu berikutan hanya satu daripada tiga lorong dibuka susulan kemalangan.

SUMBER : Harian Metro

Share.

Leave A Reply