“Riak wajahnya dalam ketakutan, kepalanya bengkak dengan kesan darah selain badan turut ada kesan lebam sementara jari telunjuk tiada kuku.”

Begitu kata Ahmad Nor Faizal Mohd Nor, 37, individu yang menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai berusia tiga atau empat tahun dipercayai mangsa dera di tepi jalan di Cheras Utama di sini, kira-kira jam 11.30 malam Jumaat lalu.

Ahmad Nor Faizal berkata, ketika itu dia dalam perjalanan pulang ke rumah dari kedai dengan menunggang motosikal sebelum terlihat kanak-kanak terbabit di tepi jalan.

Menurutnya, dia yang berasa tidak sedap hati berpatah semula sebelum melihat kanak-kanak itu melambai ke arahnya.

“Saya ada bertanya dia hendak ke mana sebelum kanak-kanak itu memberitahu dia sesat lalu membawanya pergi makan di warung berhampiran.

“Pada masa itu, saya turut bertanya kepada orang di situ (warung) sama ada mengenali kanak-kanak terbabit namun tiada yang mengetahuinya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, dia kemudian memaklumkan perkara itu ke dalam kumpulan WhatsApp penduduk, masjid dan sebagainya namun semua tidak mengenali kanak-kanak itu.

“Ketika itu saya lihat keadaannya sangat teruk dengan kesan luka baru dan lama di badan selain terdapat darah pada rambutnya.

“Kaki sebelah kanak-kanak terbabit juga tempang dan apabila dia tanya dia menjawab dalam sepatah-sepatah,” katanya.

Menurutnya, lebih menyedihkan dia turut melihat ada kesan gigitan berbentuk gigi di badan kanak-kanak terbabit manakala salah satu jarinya tiada kuku dan tidak dirawat dengan baik.

“Ketika saya tanya kenapa dia dipukul kanak-kanak terbabit hanya memberitahu papa minum bir (mabuk) lepas itu dia dipukul.

“Dia (kanak-kanak itu) juga ada beritahu mamanya juga dipukul sementara kesan cedera pada kepala kerana dihentak ke dinding,” katanya.

Katanya, dia kemudian menghubungi polis untuk memaklumkan perkara itu selepas penduduk tidak mengenalinya.

“Saya sebagai seorang bapa melihat kanak-kanak terbabit diperlakukan lebih teruk daripada binatang kerana jika hendak marahkan anak pun perlu ada batas.

“Tidak kisahlah kanak-kanak itu warga asing atau tempatan, tetapi dia tetap kanak-kanak tambahan pula mukanya cuak apabila ditanya ingin pulang ke rumah atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, sepasukan anggota rondaan cegah jenayah (RCJ) dikejarkan ke lokasi menemukan mangsa di tepi jalan berhampiran sebuah apartmen sebaik dimaklumkan orang awam.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati mangsa mempunyai kesan kecederaan di beberapa bahagian badan, tangan, jari dan dahi selain tidak menemui butiran atau dokumen pengenalan diri.

“Mangsa yang berpakaian lengkap ketika dijumpai dipercayai warga asing kerana tidak mempunyai sebarang kesan suntikan vaksin di bahu dan mangsa juga tidak memahami serta tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa tempatan.

“Mangsa kemudian dirujuk dan ditempatkan di Wad Kanak-kanak Hospital Kajang bagi rawatan lanjut. Hasil pemeriksaan awal pegawai perubatan mendapati mangsa berada di dalam keadaan sihat dan stabil,” katanya.

Menurutnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mempunyai elemen penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Inspektor Mohd Zaiyaudi Mohd Yaakub di talian 019-5355395 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Sumber : HM

Share.

Leave A Reply