“Ready to fight.” Kata Zahid Hamidi Kepada KJ. | Hanya kira-kira tiga jam selepas menganggap langkah mengehadkan pertandingan dalam Umno sebagai suatu “kegilaan” yang mesti dihalang, Khairy Jamaluddin mendakwa Ahmad Zahid sudah bersedia dicabar.

Menurut bekas ketua Pemuda Umno Malaysia itu, kesediaan Ahmad Zahid dinyatakan ketika mereka “bertembung” di ibu pejabat parti terbabit di Kuala Lumpur hari ini.

Menyatakan hal itu melalui media sosial, Khairy berkata perkara itu dinyatakan sendiri oleh Ahmad Zahid selaku presiden Umno sebentar tadi.

“Alhamdulillah, pagi tadi saya bertembung dengan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid, dan sambil saya salam beliau dia telah sebut bahawa ready to fight.

“Maknanya, beliau bersedia berdepan dengan sebarang cabaran dalam pemilihan Umno. Maksudnya, presiden sendiri berani,” katanya.

Mengiringi kenyataan Khairy itu ialah video berdurasi 52 saat yang memperlihatkan Ahmad Zahid bersalaman. Semasa berjabat itu kelihatan mengatakan berkata: “Ready to fight.”

Mengulas lanjut, Khairy berkata dia menghormati keberanian Ahmad Zahid yang sedia dicabar dalam pemilihan parti tidak lama lagi.

“Saya salute kepada beliau, beliau tak takut. Tadi dia sebut kepada saya, bersedia untuk berlawan.

“Maknanya jika ada sebarang usaha untuk menutup ruang demokrasi dalam Umno dengan usul supaya presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan, ia bertentangan dengan keberanian presiden sendiri.

“Let’s be brave (Ayuh jadi berani), buka ruang untuk demokrasi dalam Umno, buka semua jawatan untuk dipertandingkan,” katanya.

Khairy adalah antara tokoh berprofil tinggi yang dilihat menunjukkan minat untuk bertanding dalam pemilihan akan datang, dikatakan sebelum 19 Mei tahun ini.

Beberapa hari lalu Khairy malah secara terbuka menyatakan, dia akan tetap memberikan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan sekarang jika berjaya memenangi jawatan presiden Umno.

Ia adalah salah satu isyarat yang jelas daripada Khairy mengenai cadangannya untuk bertanding dalam pemilihan parti tidak lama lagi.

Terdahulu Khairy – yang dipindahkan dari Rembau di Negeri Sembilan ke Sungai Buloh Selangor dalam PRU lalu – mengulas gesaan lebih 100 ketua bahagian Umno yang mahu presiden dan timbalan presiden mereka tidak dicabar.

Khairy menganggap ia sebagai suatu “kegilaan” dan akan mematikan demokrasi dalam Umno.

“Hentikan kegilaan ini,” katanya.

TERDAHULU DILAPORKAN, Seramai 140 Ketua UMNO Bahagian sebulat suara tidak mahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata, mereka sepakat memohon Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertimbangkan perkara tersebut, kerana UMNO pada saat ini perlu diperkukuhkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“UMNO perlu bersatu, tidak perlu pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden,” katanya pada sidang akhbar di Grand Ballroom Royal Chulan, Kuala Lumpur pada malam Rabu.

Katanya, semua 126 ketua bahagian termasuk semua pengerusi perhubungan negeri Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Melaka, Perak hadir pada pertemuan malam ini, manakala 14 orang tidak dapat hadir atas sebab yang tak dapat dielakkan.

“Walaupun ada yang tak hadir, tapi apa jua yang kami putuskan hari ini mereka menyokong penuh dan saya telah bertanya dengan semua ketua bahagian kita tidak perlu ada pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden.

Pada Selasa, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi isyarat bahawa beliau akan bertanding mencabar kedudukan Ahmad Zahid sebagai Presiden.

Khairy sebelum ini mendesak Ahmad Zahid mengambil tanggungjawab melepaskan jawatan susulan keputusan buruk UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan parti itu hanya menang 26 kerusi Parlimen.

Bagaimanapun Ahmad Zahid dalam respons balasnya menerusi komen di salah satu hantaran bekas Ahli Parlimen Rembau itu meminta Khairy bertenang dan memaklumkan bahawa pemilihan parti bakal berlangsung dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya.

Sumber : MK

Share.

Leave A Reply