BUKIT MERTAJAM – Seorang pelajar Tingkatan Satu ditahan bersama rakan sekolahnya selepas didapati memandu sebuah Proton Iswara di Jalan Rozhan, Machang Bubok di sini pada petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, kedua-dua pelajar itu ditahan pada jam 8 malam Rabu di hadapan Flat Taman Machang Bubok di sini selepas polis mengesan satu klip video yang tular di aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, turut ditahan, ibu kepada pelajar sekolah yang memandu kenderaan berkenaan.
“Pada jam 3 petang semalam (Rabu), kita mengesan satu klip video berdurasi 32 saat yang tular di Whatsapp yang memaparkan seorang remaja 13 tahun memandu sebuah kereta bersama rakannya.
“Mereka telah ditahan oleh orang awam di lokasi berkenaan selepas memandu kira-kira 4 kilometer (km) dari rumahnya.
“Susulan daripada itu, polis berjaya menahan seorang pelajar Tingkatan Satu bersama ibunya yang berusia lewat 40-an dan rakan sekolahnya. Polis turut menyita kereta Proton Iswara tersebut untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau menambah, polis masih mengesan dua lagi rakan remaja tersebut untuk melengkapkan siasatan.
“Sementara itu, kita juga telah menyaman ibu remaja tersebut yang juga pemilik kenderaan di bawah Seksyen 39 ( 5 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu kenderaan bermotor,” katanya.
Cheng San berkata, polis menasihati ibu bapa dan masyarakat supaya jangan cuai dan lalai dengan membenarkan kanak-kanak di bawah umur memandu atau menunggang kenderaan kerana ia bukan saja boleh membahayakan kanak-kanak itu sendiri malah membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.
Awal Mei lalu, dilaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun menyelinap keluar dari rumahnya di Kampung Padang Mengkuang, Langkawi bersama adik lelakinya berusia tiga tahun lalu memandu Toyota Vios.
Ketika kejadian, bapa mereka sedang tidur manakala ibu kanak-kanak itu berada di dalam bilik air.
Kanak-kanak lelaki berkenaan telah memandu kereta tersebut sejauh kira-kira 2.5km sebelum kenderaan itu hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu di Jalan Bukit Tangga, berhampiran Kampung Titi Chanwang.
Sumber : SH
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Kes Budak 6 Tahun Pandu Kereta: ‘Ada Tokwan Badan Berbulu Yg Bawa Kereta’
LANGKAWI – Kejadian kanak-kanak lelaki berusia enam tahun memandu sebuah kereta lebih kurang 2.5 kilometer (km) sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, Langkawi pada malam Selasa, dikaitkan pula dengan unsur mistik.
Meskipun tidak dapat dipastikan kesahihan kisah berkenaan, namun rakaman audio perbualan suara kanak-kanak itu menceritakan kejadian tersebut kini tular di media sosial sejak malam Rabu.
Menurut kanak-kanak lelaki itu, bukan dia yang membawa kereta pada ketika itu, sebaliknya kereta itu dipandu seorang lelaki dipanggil ‘Tok Wan’.
Menurutnya, ada beberapa lelaki lain iaitu ‘Tok Wan’, ‘Pak Lang’ dan ‘Pak Cik’ turut berada dalam kereta Toyota Vios itu yang mengajaknya untuk pergi bermain game (permainan video).
Menurut cerita kanak-kanak itu, individu yang dipanggil ‘tok wan’ menerusi ceritanya dikatakan tidak kacak, badan berbulu dan mempunyai suhu yang panas.
@daichidontcare Sila dengar sampai habis #kanakkanak6tahun #3tahun #vios #terbabas #langkawi
“Tidak ‘handsome’, badan dia panas dan ada bulu. Pak Lang tak ada bulu, dia bawa gajah handsome juga. Pak cik dok (duduk) depan,” katanya.
Dalam rakaman sama yang dikongsikan di TikTok @daichidontcare, seorang lelaki yang tidak dapat dipastikan identitinya turut mengulas tentang kejadian berkenaan.
Dia turut hairan bagaimana kanak-kanak lelaki itu mampu untuk memandu kereta sejauh 2.5km termasuklah mengundur kereta.
“Ni dia boleh keluar daripada rumah masuk gear dan turunkan handbrake (brek tangan). Kita pun terfikir macam mana dia reverse (undur kereta). Dia corner balik, keluar untuk masuk ke jalan raya,” katanya.
Tambah lelaki itu, tangan kanak-kanak itu juga dirasakan tidak mampu untuk membawa turun ‘handbrake’ kereta kerana agak keras.
“Tapi apabila kita renung balik, cuba tengok. Kejadian pun nak jadi dekat titi cawang tu juga… tak kira macam mana pun,” katanya.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan seorang budak lelaki berusia enam tahun mengejutkan orang ramai apabila memandu kereta dengan membawa adiknya yang berusia tiga tahun untuk ke kedai di Langkawi sebelum terbabas dan melanggar sebatang tiang lampu.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan di dagu manakala adiknya tidak mengalami kecederaan.
Hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada kereta yang dipandu dari rumahnya tanpa pengetahuan ibu bapa dan hilang kawalan serta terbabas masuk ke tepi jalan di Jalan Bukit Tangga, Langkawi.
“Siasatan juga mendapati ketika kejadian bapa sedang tidur, ibu ada dengan mereka dan kemudian ke bilik air. Selepas keluar bilik air mendapati kedua-dua mereka sudah tiada dalam rumah,” katanya.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sumber: KMN