Remaja 13 Tahun Kerja Sambilan Pandu Lori Ditahan Polis | SHAH ALAM – Tindakan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun bekerja sambilan dengan memandu lori mengundang padah apabila ditahan pihak berkuasa di Persiaran Mokhtar Dahari di sini, semalam.
Penahanan pelajar sekolah itu dilakukan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor yang mengesan lori jenis ‘Roll On Roll Off’ (Roro) dalam keadaan mencurigakan, kira-kira pukul 12.20 tengah hari.
Pengarah JPJ negeri, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, pemeriksaan lanjut pihaknya kemudian mendapati lori tanpa muatan itu dinaiki dua remaja lelaki yang juga adik-beradik.
“Siasatan awal mendapati remaja itu melakukan kerja secara sambilan memandu lori milik syarikat keluarganya. Reamaja tersebut bersama abangnya berusia 15 tahun yang merupakan kelindan.
“Selain memandu dibawah umur, kita mengesan pelbagai kesalahan lain antaranya Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, cermin gelap, memasang lampu mata arah (strobe light) dan tiada tanda had laju,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas Khairul Khar, pihaknya menyita lori itu mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dibawa ke Stesen Penguatkuasa Ijok bagi tindakan lanjut.
“Memandu di bawah umur juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39 akta sama,” ujarnya.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: 2 Remaja 13 Tahun M4ut Lemas Dikatakan Sahabat Karib Dari Kecil | JERANTUT – Dua remaja berusia 13 tahun yang lemas di Sungai Putat kelmarin merupakan sahabat karib sejak kecil dan menetap di kampung sama iaitu di Kampung Sungai Putat di sini.
Dalam kejadian itu, mangsa Muhamad Safwan Mohamad Zamri dan Mohamad Hanapi Romzi ditemui lemas di Sungai Putat pada pukul 5.40 petang selepas mandi di sungai berkenaan pada pukul 11 pagi.
Bapa Mohamad Safwan, Mohamad Zamri Shamsuddin, 47, berkata. anaknya berkawan rapat Mohamad Hanapi sejak kecil termasuk belajar di sekolah rendah dan sekolah menengah yang sama.
Dia berkata, ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana keluar bekerja dan diberitahu oleh penduduk kampung mengenai kejadian menimpa anaknya itu kira-kira pikul 3 petang.
Menurutnya lagi, kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya ialah pada malam sebelum kejadian, namun tiada perkara pelik dilakukan oleh Mohamad Safwan.
Namun katanya, anak kedua daripada tiga beradik itu kelihatan mendiamkan diri dan kurang bercakap, tetapi dia enggan bertanya mengenai perubahan tersebut.
“Rupa-rupanya perubahan yang berlaku sebelum kejadian antara petanda Muhamad Safwan akan meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya,” katanya.
Mohamad Zamri menambah, anaknya akan dibawa pulang untuk disemadikan satu liang kubur bersama rakannya, Mohamad Hanapi selepas selesai bedah siasat di Unit Forensik Hospital Jerantut.
Dalam pada itu, bapa kepada Mohamad Hanapi, iaitu Romzi Jusoh, 47, juga mengakui kedua mangsa juga merupakan sahabat baik dan sering keluar bersama ketika bermain dan aktiviti lain di kampung.
“Anak saya merupakan pelajar orang kelainan upaya (OKU) kerana masalah pembelajaran.
“Dia baru sahaja bertukar ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damak untuk tinggal bersama emak saudaranya.
“Walaupun sudah bertukar sekolah, anak saya tetap pulang ke Sungai Putat pada waktu cuti minggu untuk bertemu dengan Muhamad Safwan dan rakan-rakan lain untuk bermain dan menyertai aktiviti di kampung ini,” katanya.
Sumber: Kosmo