HULU SELANGOR: Seorang remaja maut selepas terbabit nahas di Jalan Kalong Tengah, Hulu Yam di sini, semalam.
Mangsa berusia 16 tahun itu meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Selayang, jam 7.15 malam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata kemalangan kira-kira jam 3 petang itu membabitkan dua motosikal jenis Suzuki dan Yamaha Ego LC.
“Siasatan awal mendapati mangsa dari Hulu Yam menghala ke rumahnya di Batang Kali, sebelum bertembung dengan motosikal ditunggang remaja lelaki berusia 17 tahun.
“Kedua-dua penunggang motosikal dihantar ke Hospital Selayang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Faizal berkata, punca kematian mangsa masih dalam siasatan kerana bedah siasat belum dijalankan.
Katanya, penunggang Yamaha Ego LC berada di zon merah.
“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan untuk tampil membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sumber : BH
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Seorang Wanita Meningg4l Dunia Selepas Motosikal Rempuh Kereta
KUALA SELANGOR – Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggang merempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Ladang, Kampung Jaya Setia, Bestari Jaya di sini pada Ahad.
Kemalangan jam 12.15 tengah hari itu menyebabkan mangsa berusia 20 tahun yang beralamat di Bestari Jaya meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, polis menerima maklumat kejadian kemalangan melibatkan dua kenderaan itu pada jam 12.37 tengah hari.
“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis WMOTO 15 dalam perjalanan dari Jalan Ladang menuju ke Bestari Jaya.
“Pada sama, kereta Proton Persona dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun sedang bergerak lurus, namun secara tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa yang datang dari simpang sebelah kanan tidak memberhentikan kenderaannya lalu merempuh bahagian kanan kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ramli berkata, akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.
” Proses bedah siasat akan dijalankan setelah pihak Hospital menerima keputusan saringan Covid-19, manakala pemandu kereta mengalami cedera ringan pada bahagian tangan kanan,” katanya.
Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sumber : KMN