Seorang remaja maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah kereta, sebelum digilis kenderaan lain di Kilometer 202.9 Lebuhraya PLUS (arah utara), tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu, mangsa Muhammad Nasrul Adnan,18, yang berkonvoi bersama 12 rakan lain meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kumpulan itu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dan setibanya di lokasi mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 telah melanggar belakang sebuah kenderaan jenis Pajero di lorong kiri.
Jelasnya, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa bersama 12 lagi rakannya sedang berkonvoi dari arah Melaka ke Kuala Lumpur untuk pulang ke rumah.
Katanya lagi dalam satu kenyataan, setibanya di lokasi kejadian, mangsa telah melanggar belakang Pajero sehingga menyebabkan mangsa telah terjatuh sebelum digilis sebuah Perodua Bezza yang tidak sempat mengelak.
Mengulas lanjut ujarnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat manakala pemandu lain yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.