Remaja Lelaki Ditemui Maut Terapung Dalam Tali Air | Seorang remaja lelaki dipercayai lemas apabila terjatuh ke dalam tali air Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Kampung Kasar di sini hari ini.

Mangsa yang berusia 19 tahun itu ditemui dalam keadaan terapung di dalam tali air berkenaan oleh seorang penduduk kampung kira-kira pukul 7 pagi tadi ketika dalam perjalanan menghantar anak ke sekolah.

Seorang penduduk Kampung Kasar, Ramzi Mamat, 55, berkata, isterinya memaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa selepas melihat tubuh badan manusia terapung di kawasan tersebut.

Menurutnya, penduduk kampung terus menghubungi pihak polis mengenai kejadian itu.

“Selepas dimaklumkan isteri, saya terus bergegas ke lokasi kejadian dan melihat memang ada satu mayat lelaki terapung di situ.

“Polis tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian sebelum terus menjalankan operasi mengangkat dan menyelamatkan mangsa,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian.

Katanya, berdasarkan maklumat, mangsa berasal dari Kampung Tempoyak di sini dan dia dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebelum terbabas dan terjunam ke dalam tali air itu.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M.Nasir ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat berkenaan.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply