KUALA TERENGGANU: Seorang abang yang melalui kawasan kemalangan tidak menyangka mayat bertutup kain putih di tengah jalan adalah jasad adik kandungnya.
Muhammad Hairie Fitri Mohd Husaini, 20, berkata, ketika itu, dia dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk melihat ibu bapanya yang dirawat di hospital berkenaan.
Katanya, bapanya yang menghidap kencing manis baharu menjalani pembedahan potong sebelah kaki manakala ibu pula dimasukkan ke wad kerana menghidap kanser usus.
“Disebabkan jalan ke hospital ditutup sebab ada kemalangan, saya kemudian berpatah balik dan melalui jalan Pantai Batu Buruk dan singgah di rumah rakan sebelum ke hospital.
“Ketika berada di rumah rakan, saya diberitahu adik terbabit kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum kembali semula ke lokasi kejadian.
“Sebelum itu, ketika sedang bekerja di pusat penjagaan kuda di Lembah Bidong, Setiu, saya menerima panggilan daripada rakan meminta segera pulang tanpa diberitahu kenapa dan saya menyangkakan ada kaitan dengan ayah atau ibu.
“Tetapi tidak sangka pula rupanya adik, Araf Farhin yang meninggal dunia selepas terbabit kemalangan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Muhammad Araf Farhin, 16, pelajar Giatmara, Telemong, Hulu Terengganu maut selepas motosikal jenis EX5 ditungganginya melanggar belakang sebuah kenderaan Nissan Grand Livina di Jalan Sultan Mahmud, berhampiran Kompleks Rawatan Harian HSNZ, jam 12.50 tengah malam tadi.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa, anak kedua daripada tiga beradik bersama beberapa lagi rakan dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Panji Alam, di sini, selepas minum di sebuah kedai di Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus.
Rakannya, Muhammad Rusdi Rashid, 16, berkata, sebelum kejadian dia bersama mangsa keluar rumah jam 10 malam untuk minum bersama beberapa lagi rakan.
“Saya yang berada di belakang motosikal arwah turut terjatuh selepas terlanggar motosikal arwah,” katanya yang mengalami kecederaan ringan pada lutut kanan dan tangan.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HSNZ.
Sumber : BuletinTV3
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Penunggang Motosikal M4ut Dlm Kemalangan Tiga Kenderaan
KUALA PILAH – Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam nahas tiga buah kenderaan di kilometer 23, Jalan Seremban – Kuala Pilah, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd. Ghani berkata, kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi itu melibatkan dua buah kereta jenis Toyota Corolla Altis serta Perodua Bezza dan sebuah motosikal jenis Yamaha 125ZR.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa motosikal yang ditunggang lelaki berumur 33 tahun dan kereta jenis Toyota Corolla Altis dipandu lelaki berumur 29 tahun dari arah Seremban menghala ke Kuala Pilah.
“Kereta jenis Perodua Bezza pula dipandu oleh seorang wanita dari arah Kuala Pilah ke rumahnya di Kampung Mampas Besar. Apabila tiba di lokasi, Perodua Bezza tersebut masuk ke laluan bertentangan dan melanggar penunggang motosikal.
“Pada masa sama, pemandu kereta Toyota Corolla Altis yang berada di laluannya cuba membrek dan mengelak, tetapi berikutan jarak terlalu dekat, dia terlanggar bahagian belakang kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal tercampak kira-kira 11 meter dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ujar Amran lagi, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah di Kuala Pilah bagi pengendalian bedah siasat.
Sumber: KMN