Remaja Perempuan 14 Tahun Culik Bayi. | BUKIT MERTAJAM: Lima individu termasuk seorang remaja perempuan berusia 14 tahun direman bagi siasatan berhubung kes culik bayi berusia sembilan bulan di sebuah pangsapuri di Bukit Tengah di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, tiga suspek termasuk dalang utama kes tersebut iaitu remaja perempuan ditahan dalam serbuan pertama di sebuah pondok di Machang Bubok, di sini pada pukul 11.50 malam pada hari kejadian.

Menurut beliau, dua lagi suspek iaitu ibu dan bapa tiri kepada teman lelaki remaja terbabit pula ditahan di sebuah rumah di Kulim, Kedah bersama bayi berkenaan beberapa jam selepas itu.

Cheng San berkata, siasatan awal, suspek-suspek dikatakan melarikan bayi perempuan itu kerana tertarik dengan kecomelan bayi berkenaan selain remaja itu mendakwa mangsa adalah anaknya dengan teman lelakinya sebelum ini.

“Semasa kejadian, bayi berkenaan dijaga nenek remaja perempuan terbabit di sebuah pangsapuri di Bukit Tengah.

“Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) polis melihat suspek terbabit mendukung mangsa dengan berjalan kaki sebelum menunggang sebuah motosikal tanpa memakai topi keledar,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini.

Berikutan itu, kata Cheng San, pengasuh kepada bayi itu menghubungi ibu mangsa yang berusia 24 tahun sebelum satu laporan polis dibuat oleh bapa bayi berkenaan.

“Selain teman lelaki remaja perempuan itu yang berusia 18 tahun, turut terbabit ialah ibu bapa kepada kekasih remaja perempuan itu yang masing-masing berusia 43 dan 30 tahun. Seorang lagi suspek ialah rakan kepada teman lelaki remaja perempuan itu,” kata beliau.

Dalam pada itu, Cheng San berkata, siasatan lanjut mendapati, keluarga remaja perempuan terbabit telah bercerai dan suspek dikatakan tidak tinggal secara tetap bersama neneknya yang berusia 65 tahun itu.

“Mangsa (bayi) pula telah dijaga oleh nenek remaja perempuan itu sejak lapan bulan lalu dengan bayaran RM500 sebulan dan merupakan anak tunggal kepada pengadu,” katanya.

Cheng San berkata, kesemua suspek tidak memiliki rekod jenayah selain tidak berada dalam pengaruh dadah ketika ditahan.

Tambah Cheng San, ketika ini, pihaknya masih menyiasat sama ada terdapat motif lain penculikan tersebut termasuk untuk dijual kepada sindiket.

Sumber : UM

Share.

Leave A Reply