PETALING JAYA – Seorang lelaki yang juga penghantar makanan disahkan maut selepas cedera parah akibat kemalangan menimpanya di Jalan Lapangan Terbang Subang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya menerima laporan berkenaan kemalangan menimpa mangsa sekitar pukul 1.24 pagi.

Katanya, siasatan mendapati penunggang motosikal jenis Ex5 yang berusia 28 tahun itu cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada pukul 8 malam, Khamis lalu.

“Mangsa ketika itu sedang dalam perjalanan menghantar makanan dan telah terbabas dengan sendirinya.

“Mangsa yang mengalami cedera parah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 4.33 petang, semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Fakhrudin, siasatan diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi yang melihat kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

“Saksi juga boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704 bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Sumber: Kosmo

 

Baca Juga: Kemalangan: Seorang Pelancong Singapura Parah, 11 Cedera

Seorang pelancong Singapura parah, manakala 11 yang lain cedera selepas van persiaran dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 139.9 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di Pagoh, hari ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, dalam kejadian jam 5.15 petang, kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres, sebuah van persiaran serta dua kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HR-V dan Mazda CX-30.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila bas dalam perjalanan dari Melaka ke Johor Bahru yang berada di lorong kiri telah merempuh sebuah van di hadapannya sebelum van berkenaan melanggar kereta jenis Mazda dinaiki dua individu.

Beliau berkata, apabila berlaku rempuhan itu, kereta Mazda berkenaan turut melanggar satu lagi kenderaan lain di hadapannya dan menyebabkan keseluruhan empat kenderaan terbabit dalam nahas itu.

Beliau juga berkata ketika dihubungi bahawa esemua mangsa cedera adalah warga Singapura yang menaiki van persiaran manakala 28 penumpang bas ekspres tidak cedera dan hanya pemandu sahaja yang mengalami kecederaan ringan.

Katanya pihak polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.23 petang sebelum sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

Pasukan Keluaran Operasi (PKO) membantu mengeluarkan empat mangsa yang terperangkap di dalam van persiaran tanpa menggunakan alatan khas.

Katanya, kesemua mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Muar dengan ambulans Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta ambulans milik Kementerian Kesihatan (KKM).

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply