Kemalangan yang dilaporkan akibat kecuaian pemandu kereta kerap menjadi perhatian masyarakat, apatah lagi melibatkan kematian orang yang tidak bersalah.

Rider Maut Dilanggar Kereta. 'Ini' Tindakan Yang Perlu Diambil Terhadap Pemandu Cuai

Seperti kejadian yang berlaku pada Jumaat, seorang penghantar makanan maut manakala seorang penunggang motosikal parah dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Meru-Jalan Haji Sirat, Klang.

Video kejadian tersebut tular di beberapa laman sosial, sekali gus mendapat kecaman pengguna jalan raya serta warga net yang lain.

Berdasarkan video berkenaan, dua buah SUV bergesel sebelum bertembung dengan motosikal dinaiki mangsa, mengakibatkan penunggang terbabit maut di tempat kejadian.

Melihat kepada situasi ini, penulis kira sudah tiba masanya tindakan lebih tegas dikenakan terhadap pemandu yang memandu dalam keadaan merbahaya hingga menyebabkan kematian kepada mangsa yang terlibat.

Akta sedia ada iaitu Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 jika disabit kesalahan perlu diberi perhatian semula.

Dalam hal ini, mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menaikkan tempoh hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda sehingga RM50,000 kepada pesalah trafik bagi memberi peringatan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Oleh yang demikian, pihak berwajib diharap dapat melaksanakan satu pendekatan baharu atau mengenakan hukuman lebih keras bagi menghukum pesalah trafik yang telah mengakibatkan maut kepada mangsa lain.

Seorang isteri mungkin hilang tempat bergantung, anak pula hilang kasih sayang daripada bapa, pasangan suami isteri terpaksa reda ketika diberitahu anaknya maut akibat kecuaian orang lain.

Sebagai pemandu pula, jangan diikutkan nafsu yang mahukan kelajuan, patuhilah peraturan jalan raya, fikirkan juga kesan yang akan ditanggung kemudian hari.

Berhati-hati ketika memandu, biar lambat asal selamat.

Sumber: Sinar Harian 

Share.

Leave A Reply