Rompak Bank, Polis Dedah Suspek Maut Ditembak Bertindak Sendirian

| July 6, 2020 | 0 Comments

Rompak Bank, Polis Dedah Suspek Maut Ditembak Bertindak Sendirian | Perbagai dakwaan serta persepsi. Ini kenyataan pihak Polis berhubung insiden rompakan bank bulan lalu di Felda Air Tawar 5.

Johor Bahru: Lelaki yang maut ditembak ketika cuba merompak sebuah bank di FELDA Air Tawar 5, Kota Tinggi, bulan lalu didapati bertindak sendirian.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, ketika mengesahkan perkara itu berkata, hasil siasatan rapi polis juga mendapati, tiada faktor lain yang mempengaruhi suspek seperti pelbagai dakwaan dan persepsi yang dibuat sebelum ini.

“Banyak sangat spekulasi dan pelbagai persepsi serta input yang tidak benar dikaitkan dengan kes ini. Siasatan polis memang terperinci dan jelas, suspek bertindak secara sendirian.

“Tidak ada pembabitan abang atau pun adik suspek, ini kerana suspek adalah anak bongsu. Ia adalah hasil siasatan menyeluruh termasuk dari kamera litar tertutup (CCTV) dan keterangan dari keluarga suspek,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Senior Asisten Komisioner Md Yusof Ahmad.

Dalam kejadian pada 2.04 petang 18 Jun lalu, suspek yang berusia 19 tahun itu ditembak mati oleh seorang pengawal keselamatan menggunakan ‘pump gun’ ketika cuba merompak sebuah bank di FELDA Air Tawar 5, Kota Tinggi dan menahan seorang wanita sebagai tebusan.

Kes rompakan itu mendapat perhatian masyarakat terutama netizen di laman Facebook sehingga menimbulkan pelbagai reaksi serta pelbagai dakwaan.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, cara rompakan dilakukan suspek juga didapati menyamai aksi di dalam filem.

“Hasil siasatan menerusi CCTV mendapati cara suspek masuk ke dalam bank dan membaling beg sebelum meminta ia diisi dengan wang, seperti di dalam filem aksi, ” katanya.

Sumber : BHOnline

Tags: , , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *