Rumah Panjang Terbakar, 25 Keluarga Hilang Tempat Berteduh

| November 3, 2020 | 0 Comments

Rumah Panjang Terbakar, 25 Keluarga Hilang Tempat Berteduh | Miri: Seramai 25 keluarga dari Rumah Panjang Long Balau, Ulu Baram dekat sini, hilang tempat berteduh selepas rumah panjang berkenaan musnah dalam kebakaran tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu berlaku ketika kebanyakan penduduk sedang tidur.

“Bagaimanapun kesemua penduduk berjaya menyelamatkan diri dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku dalam kejadian itu.

“Berdasarkan laporan semua kediaman itu musnah 100 peratus dalam kebakaran berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi dan pegawai penyiasat bomba dari BBP Miri sudah ke lokasi kejadian pada 10.30 pagi bagi melakukan pemantauan serta pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, perjalanan dijangka mengambil masa antara lapan hingga sembilan jam menggunakan jalan darat ke kawasan Long Seridan iaitu kawasan paling dekat dengan Long Balau.

Difahamkan, kesemua mangsa kini menetap sementara di rumah sanak saudara berdekatan sementara menunggu bantuan susulan tiba.

Long Balau adalah sebuah rumah panjang Kaum Penan di Ulu Baram yang di bawah pentadbiran Daerah Kecil Bario.

Sumber : HMetro

Tags: , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *