Rumah Terbakar, Nenek Selamatkan Diri Papah Dinding Papan

| September 14, 2020 | 0 Comments

Rumah Terbakar, Nenek Selamatkan Diri Papah Dinding Papan | Seorang nenek terpaksa memapah dinding papan untuk menyelamatkan diri ketika api sedang marak dan membakar kediamannya di Bandar Jasin, malam tadi.

Kuok Tai, 76 yang tinggal di sebuah rumah kedai, berhampiran bulatan Bandar Jasin itu juga terpaksa menahan sakit lutut yang dialaminya sejak beberapa tahun lalu bagi menyelamatkan diri daripada terbakar.

Ketika ditemui, Tai berkata, ketika kejadian dia berada dalam rumah dan baru hendak menikmati makan malam sebelum terdengar bunyi bising di luar rumah.

“Dengan keadaan lutut yang sakit, saya berjalan perlahan-lahan ke pintu dan terlihat api di rumah kedai bersebelahan sedang marak.

“Saya terkejut dan panik, tak mampu lakukan apa-apa. Saya perlahan-lahan memapah dinding rumah untuk keluar sebelum seorang lelaki memimpin tangan dan membawa saya keluar untuk selamatkan diri,” katanya.

Susulan kebakaran itu, warga emas berkenaan tinggal sehelai sepinggang kerana gagal menyelamat barangan berharga termasuk dokumen pengenalan diri dan rumahnya musnah.

Sementara itu, Ketua Zon I Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Kanan Bomba II Mohd KhairulNizam Mohamad Anuar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan 8.19 malam sebelum tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Jasin Bestari, Bukit Katil dan Padang Temu membabitkan 23 anggota ke lokasi kejadian.

Turut digerakkan, dua anggota Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) dari BPP Jasin Bestari serta dua lori tangki masing-masing dari BPP Bukit Katil dan Ayer Keroh.

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, keadaan api sedang marak serta membakar empat rumah kedai.

“Kebakaran membabitkan empat premis kekal yang musnah 100 peratus manakala satu premis separuh kekal hanya terbakar 50 peratus.

“Bomba menghadapi kesukaran apabila api merebak dengan cepat disebabkan struktur bangunan adalah kayu. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Sumber : HMetro

Tags: , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *