Saksi Bencana Gunung Jerai Sebak, Hanya Mampu Lihat Mangsa Hanyut Dibawa Banjir | Berikutan insiden bencana alam yang melanda Gunung Jerai, saksi yang berada di lokasi kejadian tersebut kelihatan sebak selepas mereka dikatakan hanya mampu melihat dua mangsa menggelongsor dan dihanyut arus deras, baru-baru ini.

Saksi Bencana Gunung Jerai Sebak, Hanya Mampu Lihat Mangsa Hanyut Dibawa Banjir

Detik cemas telah dikongsi oleh dua orang saksi yang dikenali sebagai Norhazle Othman, 36 tahun, dan rakannya Aminnullah Budi Alam, 21 tahun, dalam fenomena kepala air di Gunung Jerai, petang semalam.

Norhazle selaku saksi menceritakan kejadian berlaku sekitar 4.30 petang selepas menyelesaikan tugas mereka di Muzium Perhutanan di Gunung Jerai dan dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai bertugas.

Menurutnya, sebelum kejadian tersebut berlaku, hujan turun dengan lebat berlarutan hampir satu jam dan disebabkan bimbang akan cuaca yang semakin gelap, dia serta temannya mengambil keputusan untuk menuruni bukit tersebut dengan menaiki motosikal.

Semasa menunggan motosikal terbabit, Norhazle mengatakan bahawa ketika itu mereka berada di hadapan sebuah kereta Proton Persona sementara motosikal dinaiki mangsa berada di belakang kereta terbabit.

Tambahnya, kejadian berlaku dengan pantas dan dia hanya sempat menyelamatkan seorang daripada mangsa yang tersangkut pada pokok selain menyifatkannya sebagai kejadian yang mengejutkan kerana bunyi meletup tersebut seperti air membelah pokok, dan air turun bersama batu dan tanah sekali.
Norhazle sebelumnya telah menoleh kebelakang, namun tidak berjaya menyelamatkan mangsa kerana dia telah pergi dibawa arus.
Sementara itu, Aminnullah iaitu saksi kedua pula berkata, kejadian itu mengakibatkannya kehilangan dokumen pengenalan diri termasuk kad UNCHR setelah motosikalnya dihanyutkan air.
Katanya, dia yang sudah lima tahun bekerja sebagai tukang cuci di Muzium Gunung Jerai tidak pernah melihat kejadian seumpama ini dan bersyukur terselamat dalam kejadian itu.
Tambahnya mereka tidak boleh melarikan diri kerana sekeliling mereka sudah dipenuhi air selain menjelaskan bahawa mereka hanya mampu membaca surah Al-Fatihah sambil berpeluk pada pokok.
Dalam kejadian kepala air petang semalam seorang pekerja Jerai Hill Resort, Sharuzi Mohamad, 53 tahun, ditemui mati selepas tertimbus di bawah kayu dan batu.
Sumber: Astro Awani

Share.

Leave A Reply