Samun Warga Emas, Bekas Banduan Ditahan

| July 26, 2020 | 0 Comments

Samun Warga Emas, Bekas Banduan Ditahan | YAN: Kegiatan licik seorang bekas banduan yang terbabit tiga kes samun di sekitar daerah ini sejak Jun lalu akhirnya tumpas selepas diberkas polis tengah malam tadi.

Suspek berusia 36 tahun itu ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Pokok Assam, Jalan Sungai Tiang, Pendang, 12.15 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, berkata dalam kegiatan itu, suspek dipercayai menyasarkan wanita warga emas dengan menyamun barangan kemas dipakai.

“Suspek yang menjalankan kegiatan seorang diri itu dikatakan pergi ke rumah mangsa dan berpura-pura bertanya jalan ke beberapa lokasi.

“Apabila mendapati ada peluang, dia terus menjalankan kegiatan itu dengan meragut barangan kemas mangsa sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahnaz berkata, dalam serbuan diadakan pihaknya turut merampas dua telefon bimbit.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Katanya, suspek juga baru sahaja dibebaskan dari penjara, Mei lalu atas kesalahan jenayah samun.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam tiga kes samun berkenaan.

“Suspek mengaku menjual barang kemas disamun di kedai pajak emas, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun,” katanya.

Sumber : BH

Tags: , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *