Sarjan Didakwa Terima Rasuah | Seorang anggota polis berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menerima rasuah bernilai RM1,500, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Muhamad Fitry Ismail, 32, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di depan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, bapa dua anak itu didakwa menerima wang rasuah daripada seorang lelaki yang kini berusia 26 tahun setelah dia kononnya membantu menyelesaikan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap lelaki berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11.34 malam, 18 November 2020 di luar pintu utama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, dekat sini.

Tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat di Cawangan Narkotik, IPD Kubang Pasu berdepan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama iaitu penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Fauzee Azizan manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli.

Terdahulu pihak pendakwaan mencadangkan agar jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan memohon agar tertuduh diperintahkan melapor diri di Pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Namun, peguam tertuduh memohon kadar jaminan dipertimbangkan untuk ditetapkan pada tahap minimum, memandangkan tertuduh tidak pernah gagal hadir bagi melapor diri di pejabat SPRM sejak ditahan pada 18 November 2020.

Mengambil kira perkara itu dan latar belakang lain, Mohd. Khairul yakin bahawa anak guamnya yang sudah lapan tahun berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan berisiko untuk melarikan diri.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan tertuduh melapor diri di Pejabat SPRM Langkawi sebulan sekali.

Tarikh serahan dokumen serta sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Mac depan dan tertuduh difahamkan membayar jaminan tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia

 

Artikel Lain

Cuba RASUAH polis dengan RM90,000, lelaki ini ditahan

Cubaan seorang lelaki merasuah polis dengan wang tunai RM90,000 supaya melepaskan rakannya selepas terlibat sindiket tawaran kerja dalam talian yang tidak wujud memakan diri apabila ditahan pada Selasa.

Wang tunai dan peralatan yang dirampas selepas seorang lelaki cuba menyogok polis.

Datuk Kamarul Zaman Mamat, Ketua Polis Johor, berkata, suspek lelaki tempatan yang berusia 31 tahun itu menawarkan wang tersebut sebagai suapan dan dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap rakannya.

Menurut beliau. pihak polis telah memberi amaran untuk tidak melakukan sedemikian. Namun degil, suspek tetap mendesak untuk menerima wang tersebut dan akhirnya ditangkap.

Kejadian ini berlaku di Taman Suria dalam satu pertemuan antara suspek dan anggota polis terbabit.

“Tangkapan dibuat dan wang tunai tersebut yang cuba diserahkan kepada polis turut dirampas.

“Kes ini dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau menambah, suspek bertindak demikian selepas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membuat serbuan di sebuah apartment di Jalan Tanjung Puteri di sini jam 12 tengah hari Isnin.

Katanya, Apartment yang dijadikan sebagai pusat panggilan menawarkan kerja dalam talian yang tidak wujud itu menjadi sebab serbuan dilakukan.

“Semasa proses awal siasatan dijalankan, pasukan serbuan telah menerima panggilan daripada suspek. Suspek itu mengaku rakan kepada warga asing itu dan mahu berjumpa pihak polis terbabit di Taman Suria.

“Dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun. Pihak polis juga telah merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk berhubung dan memperdayakan mangsa,” katanya.

Suspek kemudian menawarkan wang berkenaan sebelum diberkas kerana cuba merasuah pihak polis.Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply