Calon Perikatan Nasional (PN) Ketereh, Khlir Mohd Nor menyifatkan dia sebagai calon ‘daripada Allah SWT’ bukannya calon bidan terjun.

story image

Katanya, pemilihannya sebagai calon PN di kerusi itu adalah ketentuan Allah SWT.

“Saya calon daripada Allah SWT, memang takdir saya untuk jadi calon,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu hari ini.

“Jangan kata (saya) calon bidan terjun, (saya) calon daripada Allah SWT,” katanya.

Parlimen Ketereh menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon BN, PN, Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

BN diwakili Ketua Puteri Umno Ketereh, Marzuani Ardila Ariffin manakala PH pula mempertaruhkan Rahimi L Muhamud, dan Pejuang diwakili Haneef Ibrahim.

Kerusi Parlimen Ketereh disandang BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu yang ditandingi bekas setiausaha agung Umno, Annuar Musa.

Pada PRU-14, Annuar menang dengan majoriti 4,626 undi menewaskan Wan Ismail Wan Jusoh dari PAS dan Radzi Jidin dari Bersatu.

Bagaimanapun nama Annuar digugurkan sebagai calon oleh BN pada PRU-15 kali ini.

Dalam pada itu, Khlir berkata dia tiada manifesto khusus buat pengundi Parlimen Ketereh.

Sebaliknya dia akan mendapatkan maklum balas pengundi mengikut kumpulan usia bagi memenuhi aspirasi mereka.

Bagaimanapun dia berjanji akan membela nasib pesara tentera jika diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat.

“Saya nak bela tentera atau bekas tentera … insya-Allah saya tahu macam mana,” katanya lagi.

Sumber : MalaysiaKini

Share.

Leave A Reply