“Saya Minta Ampun Maaf. Saya Sayang Abah”, Ujar Pemuda OKU Sebelum Rentung Dalam Kebakaran | BAYAN LEPAS: “Saya minta ampun maaf. Saya sayang abah,” kata Nur Ikmal Aiman Mohd Shakrisham, 18, kepada bapanya semalam sebelum ditemukan maut dalam kebakaran di tingkat lapan Apartmen Desa Bayan, Jalan Merbah, di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, Nur Ikmal Aiman yang berstatus orang kurang upaya (OKU) dikatakan tinggal seorang diri dalam satu daripada bilik di rumah berkenaan.

Bapanya, Mohd Shakrisham Mohamad, 50, berkata anaknya itu memang sudah biasa ditinggalkan di rumah seorang diri ketika dia keluar bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai di sini.

“Saya keluar rumah jam 6.40 pagi sebelum berpatah balik tidak lama kemudian selepas tahu ada kebakaran di kawasan rumah. Tidak sangka yang terbakar itu adalah rumah saya dan memang rumah berkenaan ditinggalkan berkunci seperti biasa.

“Semalam dia ada meminta ampun dan maaf kepada saya, namun saya tak syak dia akan meninggalkan saya hari ini. Memang sebelum tidur, dia selalu buat begitu (meminta maaf) ,” katanya namun enggan mengulas lanjut kerana masih bersedih dengan kejadian berkenaan.

Difahamkan, Mohd Shakrisham tinggal berdua bersama Nur Ikmal Aiman selepas isterinya meninggal dunia pada Mac lalu akibat penyakit barah.

Terdahulu, media melaporkan seorang pemuda OKU berusia 18 tahun ditemukan maut dalam kebakaran berkenaan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd Hafiz Hafizal Timaradin, berkata pasukannya tiba di tempat kejadian pada jam 9.06 pagi selepas menerima panggilan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan sebuah unit rumah di tingkat lapan yang mana pintu rumah terbabit berada dalam keadaan berkunci.

“Ketika masuk ke dalam rumah berkenaan, anggota menemukan seorang lelaki dewasa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dipercayai sudah meninggal dunia. Mangsa dalam keadaan tertiarap dalam bilik, didapati melecur pada bahagian belakang badan,” katanya.

Mohd Hafiz Hafizal berkata, difahamkan bahawa mangsa adalah OKU hiperaktif dan biasa ditinggalkan di rumah ketika bapanya keluar bekerja.

“Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya memaklumkan, operasi memadam kebakaran membabitkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru dan BBP Seri Balik Pulau.

SUMBER : Berita Harian

Share.

Leave A Reply