“Saya Sedikit Kecewa Orang Kata Saya Kroni Dr. M”-Shafie Apdal. | KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Shafie Apdal menolak dakwaan pengkritiknya yang beliau ialah kroni bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

"Saya Sedikit Kecewa Orang Kata Saya Kroni Dr. M"-Shafie Apdal.

Shafie yang juga bekas Naib Presiden Umno berkata, beliau turut menyokong Perdana Menteri dan pemimpin lain ketika beliau bersama parti itu.

“Saya sedikit kecewa apabila orang kata saya ialah kroni Mahathir,” katany selepas menghadiri satu acara parti di Papar hari ini.

“Saya berada dalam Umno dan pernah menyokong Mahathir, Anwar Ibrahim, Najib Razak dan Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi), tetapi itu tidak bermakna saya ialah kroni atau tunduk kepada mereka.”

Shafie berkata, Warisan malah tidak membenarkan Bersatu untuk melebarkan sayapnya ke Sabah ketika kedua-dua parti itu berada dalam Pakatan Harapan.

“Kami bertelagah dengan mereka mengenai perkara ini. Jadi saya tidak tahu bagaimana kamu boleh menganggap ia kroni sedangkan saya tidak benarkan parti pimpinan Mahathir sendiri datang ke negeri ini,” katanya.

Mahathir adalah Pengerusi Bersatu ketika itu.

Tidak jelas jika ada mana-mana pemimpin politik pesaing Shafie menuduhnya sebagai kroni Mahathir, namun istilah itu telah digunakan khususnya dalam media sosial untuk menjelaskan hubungan mereka.

Shafie berkata beliau gembira dengan sambutan menggalakkan yang diterima Warisan di Semenanjung selepas melancarkan cawangannya di bulan lepas.

“Ia sedang berjalan lancar. Saya ke Pulau Pinang dan Selangor manakala pemimpin yang yang lain pergi ke Perak dan Johor dan ia agak memberangsangkan. Kita dapat sokongan daripada kaum Cina, India dan Melayu. Kami diterima baik oleh orang di Semenanjung, mereka seolah-olah mengalu-alukan kami,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shafie berkata parti pembangkang perlu mempertimbangkan untuk membenarkan ahli mereka berbeza pandangan menyertai parti pembangkang yang lain dan bukannya bersama dalam gabungan pemerintah.

Sebagai contoh, katanya, terdapat 1,000 ahli DAP di Johor yang telah menyertai Bersatu.

“Saya melihat begini, daripada menyertai Bersatu, kenapa tidak sertai kami (Warisan)? Jika tidak dapat halang mereka keluar, mereka perlu dibenarkan untuk sertai parti pembangkang yang lain,” katanya.

Sumber: FMT

Share.

Leave A Reply