SAYU Lihat Anak Peluk Bapa Dlm Lokap Semasa Hantar Makanan Berbuka Puasa | Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan senario menyayat hati anggota polis membuka pintu penjara supaya seorang kanak-kanak dapat memeluk bapanya, lapor laman berita Kompas semalam.

Video itu dimuat naik dalam akaun Instagram @undercover.id kelmarin.

Seorang tahanan bernama Aceng cuba memeluk anak perempuannya tetapi dihalang oleh jeriji besi.

Seorang anggota polis yang berada di lokasi kejadian kemudian membuka pintu lokap dan membenarkan lelaki itu memeluk anaknya.

Ketua Polis Daerah Muaro Jambi, Muharman Artha mengesahkan kejadian itu berlaku di Balai Polis Maro Sebo.

Ketua Polis Maro Sebo, Wiwik Utomo berkata, pintu lokap dibuka oleh anggotanya yang bernama Bripka Handoko pada Jumaat lalu sebelum waktu berbuka puasa.

“Jumaat lalu, kanak-kanak itu datang bersama abangnya untuk menghantar makanan kepada bapa mereka. Kebetulan rumah suspek tidak jauh dari balai polis, sekitar lapan hingga 10 minit perjalanan,” kata Handoko.

Menurut Handoko, Aceng ditahan selama lapan hingga 10 hari atas kes kecurian. Dia berasa kasihan apabila melihat keluarga itu dan terus membuka pintu lokap.

Handoko mengakui telah melanggar etika kepolisian dengan membuka pintu sel.

“Walaupun saya salah, saya bersedia menerima akibat undang-undang,” kata Handoko.

Sumber : Kosmo

Baca juga artikel menarik ini juga :

Seorang Wanita Diceraikan Sebab Tak Jemput Abang Ipar Buka Puasa | Seorang warga Mesir menceraikan isterinya selepas wanita itu enggan menjemput abang iparnya berbuka puasa bersama pada hari pertama Ramadan.

Wanita itu berkongsi kisahnya di Tahia Masr dengan mendakwa suami tidak menjaga privasi di rumah mereka, selain pengaruh negatif abang iparnya itu sebagai punca perpisahan mereka.

Gulf News melaporkan, pasangan itu mendirikan rumah tangga selama tujuh tahun dan dikurniakan seorang anak lelaki serta dua anak perempuan.

Wanita yang nama tidak didedahkan itu bimbang suaminya terpengaruh dengan sikap abangnya yang sering berkahwin dan bercerai, serta akan melakukan perkara sama.

Dia juga mendakwa suaminya itu berkongsi kehidupan rumah tangga mereka kepada abangnya, termasuk hal kewangan keluarga, membuatkan dia berasa seperti tiada kerahsiaan.

Lebih mengecewakan apabila suami tidak berupaya membuat keputusan sendiri tanpa bantuan abangnya.

Ketegangan memuncak apabila suami berkeras mahu abangnya bersama isteri baharu menyertai mereka berbuka puasa pada hari pertama Ramadan.

Bosan dengan kehadiran abang iparnya yang berterusan, dia meminta untuk mereka menghabiskan masa bersama anak-anak namun suaminya tidak bersetuju, malah memaksanya untuk mengajak lelaki itu.

Dia bagaimanapun ingkar dengan arahan suaminya menyebabkan lelaki itu memintanya keluar rumah dan pulang ke rumah keluarga serta memberitahu mahu menceraikannya.

Tiga minggu kemudian, wanita itu menerima surat cerai yang mendorong kes terbabit dibawa ke mahkamah keluarga bagi dia mendapatkan hak selayaknya termasuk hak penjagaan anak.

Sumber : Harian Metro

Share.

Leave A Reply