Scam: Rugi Hampir RM100,000 Selepas Jadi Mangsa Pelaburan Tidak Wujud! Seorang penuntut kerugian hampir RM100,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud. Baca seterusnya.

KUALA TERENGGANU: Seorang penuntut kerugian hampir RM100,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud di daerah ini.

Kejadian dipercayai bermula apabila lelaki berusia 20 tahun itu menerima mesej daripada individu tidak dikenali menawarkan pakej pelaburan daripada sebuah syarikat, pada 15 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, mangsa yang tertarik dengan tawaran berkenaan berhubung dengan seorang ejen yang memperkenalkan diri sebagai Fahmi.

Beliau berkata, mangsa kemudian diterangkan mengenai pelaburan yang ditawarkan syarikat berkenaan sebelum bersetuju melaburkan sejumlah wang dan mendapat keuntungan 10 peratus daripada modal yang dilaburkan.

“Mangsa kemudian diarahkan membuat pembayaran pelaburan yang seterusnya, namun tidak mendapat sebarang keuntungan.

“Suspek sekali lagi mengarahkan mangsa membuat beberapa pembayaran lagi bagi urusan mendapatkan modal dan keuntungan.

“Dalam tempoh itu, mangsa dikatakan membuat lapan kali pembayaran secara berperingkat ke dalam lima akaun bank yang berbeza membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM94,412,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

M Zambri berkata, mangsa memaklumkan suspek masih mengarahkannya membuat pembayaran dengan pelbagai alasan, namun tidak mengikuti arahan diberikan kerana percaya sudah menjadi mangsa penipuan.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis semalam dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, M Zambri turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan individu atau sindiket yang menawarkan sebarang pelaburan, terutama yang menjanjikan pulangan yang lumayan.

Katanya, orang ramai dinasihatkan menyemak latar belakang syarikat pelaburan itu terlebih dahulu bagi memastikan ia memiliki lesen sah daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau menghubungi Bank Negara Malaysia (BNM) jika terdapat sebarang pertanyaan.

Sumber: BH

Share.

Leave A Reply