Scammer Tidak Pernah Tidur, Menyamar Jadi MCMC Pula. Orang ramai diminta sentiasa berwaspada dengan panggilan oleh individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Baca selanjutnya.

KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta untuk berwaspada dengan panggilan individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Dalam satu kenyataan menurut MCMC, individu tersebut akan mendakwa orang yang dihubunginya telah melakukan kesalahan.

Kata MCMC seorang pengadu telah dihubungi oleh individu yang mengenalkan diri sebagai Mohd Azim Abdul Aziz dan memaklumkan bahawa talian telefon pengadu telah menghantar pautan-pautan judi dan lucah ke serata telefon di Negeri Sembilan.

“Justeru, pengadu terbabit dikehendaki membuat aduan dalam tempoh 30 minit dan sekiranya gagal untuk berbuat demikian boleh menyebabkan talian telefon pengadu disekat dan disenaraihitamkan oleh pihak penyedia perkhidmatan.

“Adalah dimaklumkan bahawa individu yang dimaksudkan iaitu Mohd Azim Abdul Aziz bukan kakitangan MCMC dan tidak pernah berkhidmat dengan pihak Suruhanjaya.

“Pada masa yang sama, sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai sesuatu urusan berkaitan dengan Suruhanjaya lazimnya dilakukan mengikut saluran rasmi seperti laman sesawang ataupun menerusi platform media sosial dan bukannya menggunakan nama individu, penggunaan bahasa yang meragukan serta nombor telefon bimbit persendirian,” katanya, pada Khamis.

Sehubungan itu, MCMC menggesa orang awam untuk tidak mudah terpedaya dengan panggilan sedemikian oleh pihak tidak dikenali.

Pada masa yang sama, segera laporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk perhatian dan tindakan susulan, jelasnya.

Sumber: AWANI

Share.

Leave A Reply