Kematian seorang lelaki warga tempatan di daerah Petaling pada 10 Mac lalu, telah disahkan akibat jangkitan rabies.

Selangor: Lelaki Disahkan Meninggal Dunia Akibat Rabies

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman, berkata perkara itu disahkan pada Isnin lalu selepas keputusan ujian makmal diperoleh.

Beliau berkata, mangsa berusia 40 tahun itu meninggal dunia di rumahnya.

Jelasnya, mayat mendiang telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat, dan keputusan ujian makmal bagi spesimen otak didapati positif virus rabies.

Dr Sha’ari berkata, hasil siasatan dalam kalangan masyarakat setempat mendapati mendiang dilihat masih berjalan-jalan di sekitar kawasan perumahannya, dua hari sebelum meninggal dunia.

Katanya, punca jangkitan masih dalam siasatan. Tiada gejala dan tanda penyakit rabies dilaporkan pada kes yang berlaku di Selangor ini.

Susulan itu, beliau berkata, beberapa langkah pencegahan dan kawalan dijalankan secara bersepadu oleh JKNS, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Petaling, termasuk penangkapan anjing liar di lokaliti terbabit bermula 7 April lalu.

Tambahnya, spesimen haiwan yang ditangkap, dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI).

Dr Sha’ari berkata, langkah lain diambil ialah siasatan lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Petaling serta Program ‘Active Case Detection’ (ACD) dalam lingkungan radius satu kilometer dari rumah mendiang.

Selain itu, beliau berkata, surat peka kepada semua fasiliti kesihatan awam dan swasta juga sudah dikeluarkan bagi mempertingkat kesedaran serta pengesanan awal kes gigitan anjing atau haiwan liar oleh pengamal perubatan di Selangor.

Jelasnya, seterusnya, pelantikan dua hospital rujukan kes gigitan anjing di negeri ini, iaitu Hospital Shah Alam dan Hospital Serdang.

Ujarnya, ini bagi membolehkan penilaian risiko serta kategori luka bagi pemberian vaksin rabies dan rawatan immunoglobulin rabies sekiranya perlu,.

Dr Sha’ari sekali gus menasihati orang awam agar sentiasa mengambil langkah pencegahan apabila digigit anjing atau haiwan liar, dengan segera membersihkan bahagian tubuh yang digigit ataupun dicakar dan mendapatkan rawatan.

Beliau meminta agar segera laporkan kepada DVS Selangor atau Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah jika haiwan peliharaan berubah tingkah laku, termasuk menjadi agresif.

Katanya, selain itu, laporkan kepada pihak PBT jika terdapat anjing atau haiwan liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply