Selepas 4 Hari PRU 15. Ini Luahan SEDIH Tun Mahathir. | Kuala Lumpur: Selepas empat hari berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya membuka mulut menyatakan kesedihan apabila partinya kalah.

Beliau yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) berkata, sebagai Pengerusi Pejuang, beliau sedih dengan keputusan itu, tetapi menerima pilihan rakyat.

“Pejuang Tanahair yang mengganti GTA kalah dalam PRU-15. Saya sebagai Pengerusi Pejuang sedih. Tetapi saya terima pilihan rakyat.

“Saya harap pihak yang menang akan mendirikan Kerajaan Malaysia,” katanya dalam catatan pertama selepas PRU-15, hari ini.

Pada PRU-15 lalu, GTA yang bertanding menggunakan logo Pejuang, gagal mendapat sebarang kerusi di 125 kawasan yang mereka bertanding.

Malah, Dr Mahathir kalah teruk di tangan calon Perikatan Nasional (PN) yang mendapat majoriti 13,518 undi sehingga hilang wang deposit apabila hanya meraih 4,566 undi.

Anaknya, yang juga Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz serta calon GTA lain turut kalah teruk, menimbulkan persoalan sama ada parti itu akan terus bertahan sebagai entiti politik selepas PRU-15.

Dr Mahathir berkata, oleh kerana Pejuang kalah di semua 125 kawasan yang dipertandingkan maka parti itu tidak pun dapat menjadi pembangkang dalam Dewan Rakyat.

Katanya, segala perancangan Pejuang untuk negara terpaksa digugurkan dan parti itu akan menyokong pemerintahan yang menang.

“Pejuang berdoa siapa juga yang menjadi Kerajaan Malaysia akan dapat memulihkan segala masalah yang akan dihadapi oleh negara.

“Saya sendiri akan tumpu kepada penulisan berkenaan dengan sejarah dan aktiviti dalam negara. Sesungguhnya banyak peristiwa yang berlaku dalam negara belum pun direkod, termasuk apa yang berlaku di zaman British.

“Saya juga terbuka untuk ditemuduga oleh penulis,” katanya.

Sumber : HM

 

 

ARTIKEL LAIN TENTANG TUN MAHATHIR

Tun M mahu tumpu tulis sejarah, aktiviti negara.

SHAH ALAM – Selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad akan memberi tumpuan kepada penulisan berkaitan sejarah dan aktiviti dalam negara.

Beliau yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi itu berkata, banyak peristiwa yang berlaku dalam negara belum pun direkodkan termasuk ketika zaman British.

“Saya juga terbuka untuk ditemuduga oleh penulis,” ujarnya di Facebook pada Rabu.

Pada PRU15, Dr Mahathir menjadi antara 369 calon kerusi Parlimen yang hilang wang deposit selepas memperoleh undi kurang satu per lapan daripada jumlah keseluruhan undi.

Beliau yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) hanya memperoleh sebanyak 4,566 undi daripada keseluruhan 48,123 undi dalam pertandingan lima penjuru.

Selain itu, anak beliau iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Timbalan Pengerusi GTA, Datuk Marzuki Yahya juga gagal merampas kerusi Jerlun dan Sungai Petani.

“Saya sebagai pengerusi Pejuang sedih. Tetapi saya terima pilihan rakyat.

“Oleh kerana Pejuang kalah semua 125 kawasan yang dipertandingkan, Pejuang tidak pun dapat menjadi pembangkang dalam dewan.

“Segala perancangan Pejuang untuk negara terpaksalah digugurkan. Yang boleh dilakukan oleh Pejuang ialah melihat arah pemerintahan pihak yang menang” jelasnya.

Tambah beliau lagi, Pejuang berdoa siapa juga yang menjadi kerajaan Malaysia akan dapat memulihkan segala masalah yang akan dihadapi oleh negara.

Share.

Leave A Reply