Selepas Hampir Seminggu Hilang Dlm Kebun Akhirnya Makcik Ini Ditemui. | BATU PAHAT: Warga emas yang dilaporkan hilang di kebun sawit Kampung Parit Kasih Sayang di Senggarang, dekat sini sejak lima hari lalu, ditemukan selamat, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, bagaimanapun, mangsa, Painah Siwan, 79, dalam keadaan lemah ketika ditemui sekitar jam 11.25 pagi tadi.

Katanya, mangsa ditemukan berhampiran lopak air 900 meter dari pos kawalan operasi dan 1.4 kilometer dari arah hadapan rumahnya.

“Painah dijumpai oleh dua orang awam yang turut bersama dalam operasi mencari dan menyelamat.

“Operasi disertai oleh 102 orang pegawai dan anggota daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta 20 orang kampung.

“Turut dijumpai bersama mangsa adalah sepasang selipar dan secekak lidi daun sawit yang sebahagiannya telah diraut,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Ismail Dollah memaklumkan, mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat menaiki ambulan Angktan Pertahanan Awam (APM) untuk rawatan dan kini dalam keadaan stabil.

Terdahulu, Painah dilaporkan hilang selepas masuk ke kebun untuk mencari sisa daun kelapa sawit untuk dijadikan penyapu lidi pada Rabu lalu.

Susulan kehilangannya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan melibatkan 187 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Batalion ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk setempat.

Sumber : Astro

Share.

Leave A Reply