Tindakan dua peguam menarik diri di saat akhir semasa prosiding bela diri kes mengabai dan menganiaya kanak-kanak perempuan dikenali Bella, menyebabkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, menangis di kandang saksi, di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Bernama.

Siti Bainun, 31, dilihat mengesat air mata ketika Hakim Izralizam Sanusi memaklumkan, mahkamah telah menerima notis penarikan diri daripada peguam, Asiah Jalil dan Nurul Nurul Hafidzah Hassan pada jam 9 malam, Isnin.

Dengan penarikan dua peguam itu, ini menjadikan kesemua peguam dari lima firma, tidak lagi mewakili wanita itu dalam prosiding bela dirinya.

Izralizam: Kamu tahu tak, mereka mahu tarik diri?

Siti Bainun: Puan Asiah ada beritahu Sabtu lalu, boleh nak tarik diri sebab ada pertindihan jadual, tapi beliau tak ada cakap, betul-betul nak tarik diri, tak apalah Yang Arif, saya akan cuba bincang semula.

Izralizam: Saya juga ada terima notis penarikan diri peguam, difailkan jam 9 malam tadi, sekiranya ada pertindihan tarikh, peguam perlu buat permohonan berserta alasan, untuk saya pertimbangkan.

Hakim ini turut menasihati tertuduh supaya membuat aduan kepada Majlis Peguam, sekiranya rasa teraniaya dengan tindakan peguam-peguamnya.

“Mahkamah tak salahkan atau marahkan kamu, tetapi kalau kamu sendiri tidak beri arahan, macam mana mereka nak bersedia?,” kata hakim itu.

Siti Bainun: Saya tak tahu susunan jadual itu macam mana?

Izralizam: Kamu bagi tak mereka tarik diri?

Siti Bainun: Mestilah tidak.

Izralizam kemudiannya menasihati Siti Bainun supaya melantik peguam yang lebih bertanggungjawab untuk mengendalikan kesnya.

“Seorang sahaja sudah memadai untuk mengendalikan kes, kalau banyak firma tapi berlaku macam ini, ia tidak memberi manfaat kepada kamu juga,” katanya.

Susulan itu, mahkamah kemudian menetapkan 26 dan 27 Januari ini bagi sambung perbicaraan bela diri manakala prosiding yang dijadualkan berlangsung hingga Jumaat ini dilapangkan.

Tertuduh juga dikehendaki untuk memaklumkan mengenai status lantikan peguam baharu pada tarikh berkenaan.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan tiga peguam yang mewakili Siti Bainun menarik diri iaitu Mohammad Farhan Maaruf, Nur Ellena Mohamed Razif dan Nur A’minahtul Mardiah Md Nor.

Mohammad Farhan dan Nur Ellena memfailkan permohonan itu secara bertulis pada Jumaat lalu manakala Nur A’minahtul membuat permohonan menarik diri secara terbuka.

Pada 24 November tahun lalu, Siti Bainun diperintah untuk membela diri atas dua pertuduhan tersebut.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja sama.

Sumber : SH

Share.

Leave A Reply