Seorang Abang Bertindak Cekik Adik Perempuan Sampai Mati | Seorang lelaki di Turki dijatuhi hukuman penjara 30 tahun kerana didapati bersalah mencekik leher saudara perempuannya sehingga mati sebelum menggantung mayat mangsa pada paip gas kerana pulang lewat ke rumah ketika keluar pada waktu malam, lapor akhbar Mirror UK semalam.

Selim Kantar, mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh saudara tirinya, Dilsen Avci, 30, di rumah keluarga mereka di daerah Pursaklar, Ankara pada 27 Jun 2020.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tergantung pada batang paip gas oleh ibunya sendiri.

“Saya akan melakukannya sekali lagi,” kata Kantar semasa perbicaraan mahkamah.

Punca kematian Avci pada awalnya dianggap sebagai bunuh diri.

Bagaimanapun, punca kematian sebenar akhirnya dikesan selepas Kantar sendiri mengaku bahawa dia telah mencekik mangsa dalam sepucuk surat yang dikirimnya dari penjara ketika dihukum untuk jenayah lain.

Dia ditahan sebulan selepas membunuh saudara tirinya dan mengaku melakukan jenayah itu selepas sembilan bulan berada di penjara.

Mahkamah menjatuhi hukuman penjara seumur hidup ke atas Kantar selepas melihat rekod jenayah lampau yang dilakukannya, selain dakwaan bahawa dia tidak menyesali perbuatannya.

Ini bermakna, Kantar hanya boleh dipertimbangkan untuk dibebaskan hanya selepas menjalani hukuman penjara selama 30 tahun.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply