Seorang Anggota Polis Cedera Dilanggar Pemandu Mabuk.

| March 22, 2021 | 0 Comments

Seorang Anggota Polis Cedera Dilanggar Pemandu Mabuk. | Ampang Jaya: Petugas ambulans dan anggota polis cedera akibat dilanggar ketika memberikan bantuan kecemasan dan mengawal lalu-lintas susulan satu kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di sini, semalam.

Mabuk

Dalam kejadian 12.40 tengah malam itu, kedua-dua petugas terbabit sedang memberikan bantuan kepada mangsa kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohammed Farouk Eshak berkata, semasa anggota polis mengawal lalu-lintas, sebuah Mercedes Benz bergesel dengan sebuah Proton Saga menyebabkan pemandunya hilang kawalan dan melanggar kereta peronda polis.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di lorong paling kanan dari arah Ampang menghala ke Gombak.

“Ketika kejadian, kereta peronda polis berada di lorong kanan kerana sedang memberikan bantuan kecemasan kepada penunggang motosikal yang kemalangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu, kereta peronda polis itu menggelongsor ke hadapan dan melanggar ambulans dan sebuah motosikal anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya.

“Kemalangan itu menyebabkan seorang anggota BSPT, seorang petugas ambulans serta seorang penunggang motosikal cedera dan mereka dikejarkan ke Hospital Ampang bagi menerima rawatan.

“Ujian alkohol ke atas pemandu Mercedes mendapati ia melebihi paras dibenarkan, namun ujian saringan air kencing mendapati negatif penggunaan dadah,” katanya.

Katanya, susulan itu pemandu berusia 48 tahun ditahan dan direman tiga hari untuk siasatan mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis turut memohon saksi bebas yang melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya, Inspektor Nurul Faizah Ismail di talian 019-2863481,” katanya.

Sumber : Metro

Tags: , , , , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *