Seorang Budak Ditemui Masih Hidup Slps 48 Jam Terperangkap Di Bawah Runtuhan Bangunan. | CIANJUR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun berjaya dikeluarkan daripada runtuhan bangunan akibat gempa bumi berkekuatan 5.6 skala Richter di Indonesia pada Isnin lalu selepas mangsa terperangkap selama 48 jam tanpa makanan dan air minuman.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dramatik itu dilakukan pada Rabu di bandar Cianjur, Jawa Barat yang terjejas teruk dan telah meragut sekurang-kurangnya 271 nyawa.

“Ia adalah satu keajaiban. Semua orang termasuk saya menangis gembira apabila melihat kanak-kanak itu masih bernyawa,” kata sukarelawan dikenali sebagai Jeksen pada Khamis.

Sebuah rakaman video yang dikeluarkan Pentadbiran Bogor turut memaparkan usaha mengeluarkan budak itu yang dikenali sebagai Azka dari bawah runtuhan rumah yang musnah di daerah Cugenang.

Difahamkan, ibunya terkorban dalam kejadian gempa itu dan mayatnya ditemui beberapa jam sebelum operasi menyelamatkan Azka.

“Kanak-kanak itu dijumpai di sisi mayat neneknya. Dia dilindungi oleh bantal. Kami tidak menjangkakan kanak-kanak itu mampu bertahan selepas tempoh 48 jam kerana dia terperangkap di ruang yang sempit dan gelap serta tiada lubang pengudaraan yang sempurna,” ujar Jeksen sambil menjelaskan Azka terselamat kerana tidak ditimpa dinding yang runtuh walaupun berada pada jarak yang sangat hampir dengan konkrit itu pada kira-kira 10 sentimeter.

Sementara itu, anggota penyelamat memaklumkan kebanyakan korban gempa itu adalah kanak-kanak di sekolah atau yang berada di rumah kerana tidak sempat menyelamatkan diri.

“Masa semakin suntuk untuk menyelesaikan misi menyelamat itu selain berdepan cuaca buruk.Kami telah mengerahkan 6,000 anggota penyelamat. Kami akan teruskan usaha mencari mangsa yang mungkin masih terselamat.

“Tolong doakan kami agar 40 lagi mangsa termasuk kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun yang dilaporkan hilang dapat ditemui,” kata Ketua Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Suharyanto. – AFP

Sumber : SH

 

 

ARTIKEL LAIN UNTUK DIBACA

11 Ahli Keluarga Hilang Sekelip Mata Terkorban Akibat Gempa Bumi. | Jakarta: Enjot sedang mengembala lembunya di bukit berhampiran rumahnya apabila bumi bergegar. Gempa bumi bermagnitud 5.6 mengorbankan sekurang-kurangnya 268 orang, termasuk 11 ahli keluarga Enjot.

Kakak iparnya dan dua anaknya cedera, antara ratusan yang cedera dalam gempa bumi di Cianjur, Jawa Barat, Isnin lalu. Kini, Enjot melawat ahli keluarga yang terlantar di hospital dan cuba membina semula kehidupannya yang hancur.

“Hidup saya tiba-tiba berubah,” kata Enjot, 45, yang menggunakan satu nama seperti kebanyakan rakyat Indonesia.

“Saya perlu hidup dengannya mulai sekarang,” katanya.

Pusat gempa terletak di selatan kampung halaman Enjot, Cianjur, kira-kira tiga jam pemanduan dari ibu negara, Jakarta.

Selepas mendapat panggilan daripada anak perempuannya, Enjot menaiki motosikalnya dan bergegas pulang ke rumah, tiba dalam beberapa minit untuk melihat kawasan kejiranannya rata.

“Lelaki, wanita dan kanak-kanak menangis, manakala orang ramai yang terperangkap di dalam rumah yang runtuh (dan) menjerit meminta tolong.

“Saya melihat kemusnahan yang dahsyat dan adegan yang menyayat hati,” katanya.

Kakak iparnya dan anak-anaknya, yang berkunjung dari kampung berhampiran, adalah antara mangsa yang lebih bernasib baik.

Individu lain mendengar jeritan mangsa dari runtuhan dan menarik mereka keluar.

Wanita dan kanak-kanak itu parah di kepala dan patah tulang, serta sedang dirawat di sebuah hospital.

Menurut Agensi Bencana Negara, sehingga petang Selasa, lebih 268 terbunuh dengan ratusan hilang dan cedera, hampir semuanya di dalam dan sekitar Cianjur.

Jumlah mangsa dijangka meningkat.

Seperti kebanyakan penduduk kampung lain, Enjot bertungkus lumus menggali untuk mencari mangsa yang terselamat, dan berjaya menyelamatkan beberapa orang.

Tetapi jalan yang tersekat dan jambatan rosak bermakna pihak berkuasa tidak dapat membawa masuk jentera berat yang diperlukan untuk mengalihkan kepingan konkrit dan runtuhan lain yang lebih besar.

Sepanjang hari itu, saudara-mara meratap ketika mereka melihat penyelamat menarik mayat berlumuran lumpur dari bangunan yang musnah, termasuk salah seorang anak saudara Enjot.

Tidak jauh dari rumah Enjot, gempa susulan mencetuskan tanah runtuh yang merempuh rumah salah seorang saudaranya dan menimbus tujuh orang di dalamnya.

Empat berjaya diselamatkan, tetapi dua anak saudara dan seorang sepupu terbunuh, katanya.

Share.

Leave A Reply