Seorang duda anak tiga, dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini, atas kesalahan mengugut ibu kandungnya dengan pisau untuk mendapatkan wang, tahun lalu.

Hukuman diputuskan Majistret, Mazana Sinin, selepas menimbangkan keseluruhan fakta kes, rayuan tertuduh Wira Md Aris, 41, dan hujah pendakwaan bagi pemberatan hukuman.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengugut ibunya, Ara Sembok, 66, dengan menggunakan pisau dalam keadaan muka bengis dan marah sambil meminta wang.

Kesalahan itu dilakukan di ruang dapur sebuah rumah di Bertam Malim, kira-kira jam 5 petang pada 22 September tahun lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha, berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat untuk tidak mengulangi kesalahan itu.

Peguam bela, Muhammad Izzuddin Ab Malek, merayu hukuman ringan kerana anak guamnya menyesali perbuatannya, selain perlu menyara tiga anak dengan pendapatan RM800 sebulan sebagai nelayan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan bermula dari tarikh tangkapan pada 18 Mei lalu.

Sumber : BH

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Ibu Hidap Strok Sedih ‘Dibuang’ Anak Sendiri

ALOR SETAR – Bukan sahaja suami tergamak meninggalkan isteri sakit, malah terdapat anak-anak yang juga sanggup ‘membuang’ ibu mereka selepas me­ngalami masalah kesihatan.

Itu derita dilalui seorang ibu tunggal dikenali sebagai Sarimah, 68, selepas lumpuh sebahagian badan akibat angin ahmar.

Sarimah yang kematian suaminya kira-kira 10 tahun memberitahu, dia telah ‘dibuang’ oleh empat daripada lima anaknya yang berusia 30 hingga 40 tahun.

“Hati ibu mana tak sedih apabila teringat anak-anak, tetapi sekarang saya seolah-olah tidak wujud untuk mereka.

“Sudah dua tahun saya kena strok, dua anak perempuan langsung tak datang jenguk, sedang­kan sebelum sakit kami sangat rapat dan setiap bulan mereka akan balik atau saya akan dibawa tinggal bersama mereka,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Menurutnya, dia mempunyai lima anak hasil dua perkahwinannya termasuk seorang anak lelaki daripada arwah suami keduanya yang berusia 28 tahun yang kini menjadi tempat dia bergantung.

Ceritanya, hubungan mereka anak beranak baik sahaja sebelum dia lumpuh.

“Pada penghujung 2021, saya kena strok dan terlantar selama beberapa bulan. Masa itu anak lelaki nombor empat bawa mak cik duduk dengan dia di Pulau Pinang, namun beberapa bulan saja lepas itu, dia hantar pulang ke rumah saya.

“Selepas itu anak lelaki sulung pernah bawa saya tinggal dengannya, tetapi sekejap. Saya ikut sahaja sebab tak mahu menyusahkan mereka dan isteri yang seolah-olah tak senang dengan saya,” katanya.

Menurut Sarimah, dia tidak menyalahkan anak-anaknya itu, apatah lagi meminta mereka menjaganya yang semakin pulih daripada angin ahmar itu.

“Mungkin mereka takut saya nak duduk dengan mereka. Saya tahu itu akan menyusahkan mereka. Sebenarnya saya tak minta macam itu, cuma rindu mereka dan cucu-cucu.

“Kalau mereka tak dapat nak tengok saya, telefon tanya khabar sahaja pun hati ini akan seronok,” katanya.

SUMBER:  KMN

Share.

Leave A Reply