Seorang Imam Masjid Maut Dalam Kemalangan. | Sekinchan: Perjalanan pulang seorang imam masjid yang selesai mengajar pusat tahfiz ke rumahnya berakhir tragedi apabila motosikal ditunggang merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 64 Jalan Teluk Intan-Klang, arah ke Klang, di sini, semalam.

Dalam kejadian 4.15 petang itu, mangsa berusia 32 tahun yang menunggang Yamaha LC 135 maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, siasatan mendapati mangsa baru pulang mengajar di sebuah maahad tahfiz di daerah Sabak Bernam.

Beliau berkata, ketika kejadian, sebuah treler dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun berhenti di lorong kecemasan.

“Kenderaan berat itu dilanggar di bahagian sisi kanan oleh motosikal mangsa yang datang dari arah sama.

“Akibat kemalangan itu, mangsa yang juga imam sebuah masjid di Tanjong Karang terjatuh di atas jalan dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Lim berkata, semasa kejadian juga treler terbabit tidak meletakkan sebarang tanda atau memberi isyarat untuk berhenti di lorong kecemasan.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sumber : HM

Share.

Leave A Reply