Perjalanan empat sekeluarga berakhir tragedi di Jalan Kesang Garing di sini, selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dinaiki mereka dirempuh sebuah Toyota Hilux dalam kemalangan pukul 11 pagi semalam.

Seorang Kanak-Kanak Lelaki Maut Dalam Kemalangan

Dalam kejadian itu, mangsa, Afif Daiyan Shamsuri, 5, meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapanya, Shamsuri Mohd., 45, sementara kakaknya pula, Auni Dalili Shamsuri, 11, mengalami kecederaan parah di kepala.

Bagaimanapun ibunya, Che Hasliza Che Ha, 43, hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Mispani Hamdan berkata, ketika kejadian, kereta dinaiki empat beranak itu dalam perjalanan dari arah Kesang menghala ke Durian Tunggal.

“Semasa sampai di lokasi, sebuah Toyota Hilux tiba-tiba memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan MPV dinaiki mereka.

“Akibat kemalangan itu, seorang kanak-kanak meninggal dunia di lokasi manakala pemandu iaitu bapanya dan kakaknya yang berada di bahagian penumpang belakang parah di kepala serta badan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tambah Mispani, pemandu trak pikap yang merempuh mangsa bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasatan manakala kesemua mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber : Utusan

Share.

Leave A Reply