Gara-gara tidak membenarkan bapa menonton televisyen seorang anak bertindak membaling alat kawalan jauh televisyen hingga menyebabkan kecederaan pada bapanya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Bukit Teratai, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi dikatakan berlaku selepas perselisihan faham di antara bapa berusia 74 tahun dan anak lelakinya berusia 41 tahun.

Katanya, hasil siasatan awal pihaknya mendapati, suspek tidak menyukai bapanya sering menonton televisyen dengan nada yang kuat.

“Punca adalah disebabkan suspek tidak membenarkan pengadu menonton televisyen dan suspek kemudiannya membaling alat kawalan jauh televisyen mengenai bahagian kepala mangsa sehingga mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada pukul 2.20 petang pada hari sama.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan tisu pada bahagian dahi telah menerima rawatan di Hospital Ampang.

Tambahnya, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil saringan ujian air kencing juga bebas dari sebarang dadah.

“Pihak polis turut merampas satu unit alat kawalan jauh televisyen jenis Samsung yang digunakan suspek,” ujarnya.

Tambahnya, permohonan reman akan dilakukan pada hari ini di Mahkamah Majistret Ampang dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.

Sumber : Kosmo

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Penagih Dadah Ragut Beg Warga Emas Hingga Cedera

KOTA BHARU – Seorang penagih dadah dicekup manakala rakannya sempat melarikan diri selepas mereka meragut beg milik seorang warga emas sehingga cedera di Jalan Padang Kelochor, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 malam itu, mangsa yang berusia 62 tahun mengalami kecederaan selepas terjatuh ketika kedua-dua suspek meragut beg kain yang dipegangnya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan mendapati warga emas lelaki itu sedang menutup kedainya di kawasan tersebut sebelum didatangi dua lelaki terbabit.

Menurutnya, kedua-dua suspek kemudiannya meragut beg kain yang dipegang mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikalnya.

“Bagaimanapun, motosikal yang ditunggang mereka hilang kawalan ketika berselisih dengan kenderaan lain sebelum terjatuh dan salah seorang suspek yang berusia 34 tahun berjaya ditangkap orang awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd. Rosdi, warga emas itu yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk rawatan lanjut.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati, suspek positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai empat rekod jenayah berkait kes narkotik dan ditahan reman selama empat hari bermula semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply