Seorang lelaki ditahan polis selepas tertembak rakannya dengan peluru penabur sehingga cedera parah ketika memburu di hutan Rasil, Keruak, Hulu Besut dekat sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mereka terpisah di hutan berkenaan sebelum lelaki berkenaan tertembak mangsa menggunakan peluru penabur.
Katanya, ketika kejadian lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai tertembak mangsa berusia 32 tahun antara jam 12 tengah malam dan 1 pagi ketika mereka bersama-sama keluar memburu pelanduk di hutan itu.
“Siasatan awal mendapati suspek dan mangsa adalah rakan baik masuk ke hutan itu dengan membawa selaras senapang patah dipercayai buatan sendiri bagi tujuan memburu pelanduk.
“Semasa perjalanan pulang, suspek mendakwa tertarik picu senjata api berisi peluru yang dibawanya menyebabkan peluru terkena mangsa yang berada di belakang suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata lagi, akibat tembakan itu mangsa yang bekerja sebagai buruh cedera di bahagian dada, leher, lengan dan perut.
Rozak berkata, polis menerima laporan mengenai seorang lelaki terkena tembakan yang mendapatkan rawatan di Hospital Besut kira-kira 2 pagi hari kejadian.
“Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.
Katanya, susulan kejadian itu suspek yang bekerja sendiri ditahan dan polis turut merampas selaras senapang patah dipercayai buatan sendiri itu.
Abdul Rozak berkata, saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan dia direman selama empat hari bermula hari ini hingga Rabu bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 iaitu menyebabkan cedera dengan senjata tanpa alasan yang sah.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000,” katanya.
Katanya, kes turut disiasat di bawah Seksyen 8 akta sama kerana memiliki senjata tanpa permit yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membeli, mengguna atau memiliki senjata yang boleh digunakan sebagai sama ada buatan sendiri atau senjata api sebenar tanpa permit,” katanya.
Sumber : BH
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Seorang Wanita Cedera Kena Tembak Dengan Bekas Pekerja
Polis menahan lelaki warga emas kerana melepaskan tembakan yang mencederakan seorang wanita di Serian, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu di Batu 37, Jalan Kuching-Serian itu pada jam 8.10 pagi.
Beliau berkata, dalam kejadian itu, wanita berusia 39 tahun yang bekerja di sebuah syarikat konkrit mengalami kecederaan di tangan dan bahu kanan.
“Suspek ditahan orang awam sejurus kejadian itu dan kemudian diserahkan kepada polis dan kini masih ditahan di lokap Balai Polis Serian sementara mendapatkan perintah tahanan reman.
“Mangsa yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Serian untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Aswandy berkata, polis turut merampas selaras senapang patah yang digunakan suspek dalam kejadian itu.
“Difahamkan suspek adalah bekas rakan sekerja mangsa di syarikat itu dan polis masih meneliti motif dia melepaskan tembakan.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.
Sumber : KMN