KUALA LUMPUR – Hanya kerana anak teman wanitanya membuat bising, seorang pempromosi acara sanggup mendera bayi berkenaan sehingga memerlukan rawatan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rajang, Setapak, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Wangsa Maju, Deputi Superintendan Saralathan Duraisamy berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kes penderaan seorang bayi perempuan warga tempatan berusia satu tahun sekitar pukul 5.05 petang.

Menurutnya, hasil maklumat awal mendapati suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan telah mendera mangsa seorang bayi perempuan dan melarikan diri sebelum ketibaan pihak polis di lokasi kejadian.

“Teman lelaki kepada ibu mangsa itu dikatakan telah mendera mangsa di lokasi kejadian yang merupakan tempat tinggal suspek bersama ibu mangsa.

“Setelah selesai memukul mangsa, suspek bertindak menghantar mangsa ke rumah keluarga ibu mangsa di Jalan Rejang, Taman Setapak Jaya, di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saralathan memberitahu, mangsa yang mengalami bengkak pada bibir, lebam pada kedua-dua mata serta bahagian belakang badan telah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Mengulas lanjut, Saralathan memaklumkan, ini bukan kali pertama suspek memukul bayi terbabit tetapi kali ini melampaui batas.

Justeru itu, pihak polis masih mempergiatkan usaha memburu suspek, Amir Shafiq Suhaimi, 31 tahun dan kes masih dalam siasatan pihak polis.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sumber : Kosmo

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Dera Anak Teman Wanita, Tukang Kebun Mengaku Bersalah

IPOH: Seorang tukang kebun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap anak teman wanitanya yang berusia empat tahun.

Tertuduh, Abdul Rahman Abdullah, 38, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah melakukan penganiyaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di sebuah rumah di Jalan Chin Hwa Chateau sejak April hingga 9 Mei lalu.

Pendakwaan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, K. Darinee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Darinee tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh atas alasan lelaki itu telah pun mengaku bersalah selain mengelakkan kacau ganggu mangsa ekoran kanak-kanak itu sebelum ini tinggal bersama tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman tarikh lain pada 19 Jun depan sementara menunggu fakta kes dan laporan perubatan penuh mangsa.

Perbuatan tertuduh terbongkar ekoran laporan polis dibuat ibu kanak-kanak itu Jumaat lalu berhubung tindakan lelaki terbabit menampar dan menumbuk mangsa berulang kali di bahagian muka selain mengetuk kepala dan menendang badannya.

Ibu mangsa berusia 34 tahun turut ditumbuk di muka ketika cuba menghalang anaknya daripada terus dipukul tertuduh.

Kejadian itu menyebabkan mangsa lebam di kedua-dua mata, cedera di mulut, gigi patah dan sakit di seluruh badan manakala ibunya pula mengalami lebam di muka dan lengan sebelah kiri.

Difahamkan, punca tertuduh bertindak demikian kerana marah anak teman wanitanya itu sering membuat bising dan menangis.

Selain mangsa, wanita tersebut juga mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun namun kanak-kanak itu tidak dipukul oleh tertuduh.

Tangkapan terhadap lelaki itu dan ibu mangsa membawa kepada rampasan beberapa barang kes iaitu sebatang besi aluminium, sebatang buluh dan serpihan paip PVC.

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis methamphetamine.

SUMBER: KMN

Share.

Leave A Reply