Seorang Lelaki Dijumpai Terbaring Ditepi Jalan Akibat Ditikam. | KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20 hingga 30-an, dijumpai terbaring akibat ditikam di tepi Jalan Radin Bagus 8, Sri Petaling, di sini pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, kejadian itu berlaku sekitar pukul 3.49 pagi tadi ketika anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Sri Petaling menjalankan Rondaan Pencegah Jenayah.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat satu kesan tikaman pada bahagian pinggang sebelah kiri mangsa yang turut dipercayai berada dalam keadaan mabuk.
“Bagaimanapun, pihak polis tidak menemui sebarang senjata yang digunakan semasa kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suhubungan itu, Basri berkata, hasil siasatan menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) serta pemantauan sekitar tempat kejadian telah membawa kepada penahanan lima lelaki warganegara Myanmar.
“Mereka disyaki terlibat dalam pergaduhan tersebut.
“Terdapat dua kesan lebam pada muka dua lelaki yang ditahan dan kesemua suspek direman dibawah Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.
Sumber : Kosmo