SEREMBAN: Lelaki terbaring di kaki lima depan sebuah klinik mata di Jalan Haruan 44, Kawasan Perindustrian Oakland, Seremban 2, di sini, yang disangkakan sedang tidur, rupa-rupanya sudah meninggal dunia.
Difahamkan, kejadian disedari kira-kira jam 8.15 pagi itu oleh seorang wanita yang beberapa kali memanggil lelaki berkenaan namun tidak berjawab, menyebabkannya terus menghubungi perkhidmatan ambulans.
Saksi yang juga pengawal keselamatan hanya mahu dikenali sebagai Rama, 54, berkata dia tidak pernah melihat lelaki berkenaan di kawasan sekitar.
“Dua turut membawa beberapa barang, dipercayai gelandangan. Saya datang kerja kira-kira jam 8.15 pagi dan nampak dia terbaring di kaki lima hadapan sebuah klinik mata. Saya sangka dia sedang tidur.
“Kemudian wanita kakitangan klinik mata datang dan memaklumkan lelaki itu seperti tidak sedarkan diri. Saya minta dia hubungi ambulans atau polis. Kira-kira jam 8.45 pagi, ambulans tiba dan kemudian polis juga sampai di lokasi,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, pekerja sebuah kedai makan memberitahu memberi makanan dan wang kepada lelaki berkenaan malam tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Taware, berkata Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban menerima panggilan daripada seorang wanita berhubung kejadian itu pada jam 9.15 pagi.
“Anggota polis ke tempat kejadian mendapati seorang lelaki tempatan berumur 62 tahun dalam keadaan terbaring dipercayai gelandangan. Pegawai perubatan dari Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban yang hadir di lokasi mengesahkan kematiannya.
“Mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HTJ Seremban untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.
Beliau meminta mereka yang ada maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Asisten Superintendan Wan Nik Fairulhilmi Wan Musa di talian 06-6033222 atau 019-8335685.
Sumber : BH
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Terkena Wabak Anjing Gila, Lelaki Bun0h & Makan Daging Warga Emas
NEW DELHI – Seorang lelaki ditahan di negeri Rajasthan, barat India kerana didakwa membunuh seorang warga emas sebelum memakan dagingnya, lapor laman berita Wion News semalam.

Lelaki tersebut, Surendra Thakur, didakwa menghidap hidrofobia iaitu ketakutan terhadap air yang disebabkan oleh jangkitan penyakit anjing gila peringkat akhir sehingga menyebabkan dia bertindak tidak rasional.
Doktor menyatakan bahawa dia pernah digigit seekor anjing dan tidak mendapat rawatan perubatan tepat pada masanya.
Polis yang memetik saksi berkata, kejadian itu berlaku di kampung Saradhana di bawah daerah Pali pada Jumaat lalu.
Sebelum kejadian, mangsa, Shanti Devi, 65, membawa anak lembunya meragut rumput apabila suspek menyerang hendap lalu membunuhnya menggunakan batu sebagai senjata.
“Suspek berkelakuan seperti pesakit mental dan agresif. Kami telah menghantarnya ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan.
“Malah ketika berada di hospital, dia mencetuskan kekecohan sebelum diikat pada katil oleh jururawat,” kata seorang pegawai polis Jaitaran, Sukhram Bishnoi kepada agensi berita PTI.
Anak lelaki mangsa, Biren Kathat membuat laporan polis dan menuduh lelaki berusia 24 tahun itu membunuh ibunya dan memakan dagingnya.
Sumber: KMN