Seorang Lelaki Ditahan Kerana Memukul Penghantar Makanan | Saban hari kita sering mendengar isu mengenai penghantar makanan yang dipukul hanya kerana alasan yang remeh seperti lambat menghantar pesanan, pesanan tidak seperti yang dipesan dan juga beberapa alasan yang lain. Kali ini sekali lagi terjadi satu kes penghantar makanan yang dipukul oleh seorang lelaki yang berang selepas mangsa dikatakan menegur isterinya yang lambat mengambil makanan yang dipesan.

Seorang Lelaki Ditahan Kerana Memukul Penghantar Makanan

Georgetown: Seorang penganggur berusia 31 tahun ditahan kerana disyaki telah memukul penghantar makanan dalam satu kejadian di perkarangan sebuah pangsapuri di Bayan Lepas, di sini, semalam.

Kejadian itu sekaligus menyebabkan mangsa menerima sebanyak sembilan jahitan di kepala akibat dipukul dengan penukul besi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata terdahulu ketika kejadian, mangsa yang juga lelaki berusia 40 tahun menghantar makanan yang ditempah oleh seorang wanita pada jam 4.10 petang.

Sebaik tiba, penghantar makanan terbabit menunggu lama pelanggannya itu di lokasi bagi menyerahkan makanan.

Katanya, pengahantar makanan terbabit menghubungi wanita itu berkali-kali untuk memaklumkan bahawa dia sudah tiba di lokasi namun panggilannya semua tidak dijawab.

Tambahnya lagi, setelah 10 minit baru wanita terbabit datang sebelum penghantar makanan itu beredar pulang.

Mengulas lanjut Soffian berkata, kira-kira 20 minit kemudian mangsa dihubungi oleh suspek yang merupakan suami kepada wanita berkenaan yang katanya ingin memulangkan kembali makanan.

Ketika mangsa tiba di perkarangan rumah suspek, berlaku pertengkaran mulut di atara mereka berdua.

Katanya, suspek menuduh mangsa telah memarahi isterinya berkaitan penghantaran makanan dan berlaku pertengkaran antara keduanya sebelum suspek bertindak memukul kepala mangsa dengan menggunakan penukul besi.

Susulan laporan yang dibuat oleh mangsa, Soffian berkata suspek ditahan di rumahnya pada jam 11.15 malam tadi.

Menurut soffian, penukul besi yang digunakan suspek sebagai senjata untuk memukul mangsa juga dirampas dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan pemohonan reman akan dibuat ke atas suspek bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply