Seorang Lelaki Ditemukan Mati Ditembak Dan Ditetak. | Klang: Seorang lelaki tempatan ditemukan mati di tepi jalan di Taman Sri Gadong, dekat sini dipercayai ditembak serta ditetak sekumpulan tiga lelaki tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, terdahulu pada 12.22 tengah malam, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima panggilan daripada lelaki warga tempatan memaklumkan terdengar bunyi tembakan dan melihat seorang lelaki terbaring di tepi jalan.

Katanya, susulan itu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan ke pergi ke tempat kejadian mendapati mangsa adalah lelaki warga tempatan berusia 41 tahun berada dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah.

“Hasil siasatan mendapati tempat kejadian adalah kawasan perumahan yang mempunyai dua jalan keluar masuk menghubungkan jalan utama.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, mangsa sampai di hadapan rumah pada 12.17 tengah malam dengan menaiki kereta Volkswagen Passat.

“Ketika mangsa berjalan ke pagar rumah, datang sebuah kereta Nissan Almera yang dinaiki tiga lelaki yang meluru ke arah mangsa serta melepaskan lima hingga lapan das tembakan dari jarak dekat dan menetak mangsa menggunakan parang sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, walaupun terdapat rakaman CCTV, muka tiga suspek tidak dapat dikenal pasti kerana mereka memakai ski mask.

Katanya, hasil semakan pihaknya juga mendapati mangsa mempunyai 10 rekod kesalahan jenayah lampau termasuk kes jenayah berat membabitkan culik.

“Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sudah menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dan menjumpai beberapa barang yang boleh membantu siasatan.

“Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat atau mengenali individu-individu tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Mohamed Syahrir Zabidi di talian 012-26650895 atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222,” katanya.

Sumber : HM

Share.

Leave A Reply