Misteri kehilangan seorang lelaki selesai apabila dia ditemukan lemas selepas tersangkut pada jaring ikan dan udang yang dipasangnya dalam palong Parit 8 Gambut, di sini, kelmarin.

Mangsa berusia 55 tahun ditemui anaknya jam 7.55 pagi kelmarin dalam keadaan terapung di palong.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, isteri mangsa memaklumkan dia dan suaminya pergi memasang jaring ikan dan udang di palong berdekatan rumah mereka.

“Jam 6.45 petang kelmarin, isteri mangsa pulang ke rumah manakala mangsa tidak balik kerana pada sebelah malam dia hendak berkawal di khemah gerakan sebuah parti politik di simpang Parit 8 Timur.

“Pada 6 pagi kelmarin, isteri mangsa mendapati suaminya tidak pulang. Wanita itu kemudian menghubungi anaknya memaklumkan perkara itu,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Susulan itu, Agus Salim berkata bahawa anak mangsa tiba di rumah dan terus ke tempat bapanya memasang jaring.

“Dia menemui bapanya terendam dalam palong dan tersangkut pada jaring.

“Mayat dinaikkan pihak bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya sambil menambah mangsa tidak mempunyai sejarah rekod penyakit.

Selain itu, Agus Salim berkata bahawa hasil siasatan mendapati terdapat tali rafia terbelit pada lengan mangsa.

Mereka juga mendapati gunting yang terkalung pada lehernya dipercayai digunakan untuk mengikat jaring ikan tersebut.

“Pemeriksaan lanjut ke atas badan mangsa tiada kesan lebam atau kecederaan lain yang boleh mengakibatkan kematiannya.

“Mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum bedah siasat dilakukan.

“Bagaimanapun, hasil ujian saringan adalah negatif dan jenazah diserahkan kepada waris untuk urusan pengebumian,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut akan diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata bahawa pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.05 pagi.

Beliau berkata bahwa sepasukan 10 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar dihantar ke lokasi kejadian.

Diucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Sumber : Harian Metro

Share.

Leave A Reply