Seorang lelaki ditemui lemas selepas dihanyutkan arus deras dan tersepit di celah batu di Sungai Semungkis, di sini, hari ini.

ANGGOTA bomba membawa naik mayat seorang lelaki yang lemas selepas dihanyutkan arus deras dan tersepit di celah batu di Sungai Semungkis, Hulu Langat, hari ini. FOTO Ihsan JBPM.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 11.40 pagi tadi.

“Seramai lima anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami dimaklumkan seorang lelaki berusia 22 tahun lemas selepas dihanyutkan arus deras dan tersepit di celah batu di sungai berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pihak bomba mengeluarkan mangsa dengan bantuan Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) jam 11.53 pagi tadi.

“Mangsa berjaya dibawa naik oleh pasukan bomba jam 1.21 petang tadi dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Share.

Leave A Reply