Perasaan hibanya sukar dibendung apabila mengangkat mayat rakan yang sudah dianggap seperti adik-beradik, yang terbabit kemalangan di Jalan Palong-Pasir Besar, kelmarin.

Ezzuan Ahmad, 43, yang juga wartawan sambilan TV3 tidak menyangka rakannya, Roslee Mustaffa, 56, dijemput Ilahi ketika mereka berkonvoi motosikal berkuasa tinggi ke Melaka.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, Roslee yang menunggang Kawasaki Z1000SX meninggal dunia selepas terbabit kemalangan dengan empat kenderaan termasuk lori dan Proton X70.

“Sebagai wartawan, kita melaporkan kejadian yang menimpa orang lain, namun kali ini tidak sangka saya berdepan situasi yang membabitkan sahabat sendiri.

“Kami sudah lama saling mengenali dan ibarat adik beradik dalam kumpulan permotoran ini, jadi sudah tentu sedih apabila kejadian ini menimpanya,” katanya ketika dihubungi.

Ezzuan berkata, dia dan 13 rakan termasuk arwah Roslee ke Melaka untuk menghadiri program minggu motosikal dan mereka bergerak dari Kemaman, Terengganu pada 8 pagi, sebelum berhenti rehat di Muadzam Shah, Pahang yang mana arwah dilihat banyak kurang bercakap.

“Kebiasaan apabila berkonvoi arwah akan berada di barisan tengah atau belakang, namun kali ini arwah mahu berada di hadapan, seolah-olah mahu mengetuai konvoi,” katanya yang memaklumkan mayat rakannya dihantar ke Hospital Tampin untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila dua motosikal berkuasa tinggi memasuki laluan bertentangan dengan sebuah daripadanya melanggar lori muatan ayam.

“Sebuah lagi motosikal yang berada di belakang motosikal pertama sempat mengelak, namun melanggar Proton X70 yang berada di belakang lori.

“Penunggang motosikal, Roslee Mustaffa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi penunggang parah dan dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber : HM

 

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Dua Orang Lelaki M4ut Selepas Motosikal Dirempuh Kereta

Dua maut apabila motosikal jenis Yamaha Y15ZR dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Jalan Pintasan Kuantan–Pelabuhan menghala ke Kuantan di sini kelmarin.

Mangsa yang maut ialah penunggang motosikal, Yusof Ibrahim, 58, dan pembonceng motosikal, Ismail Jaafar, 61.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kejadian kira-kira pukul 7.52 pagi itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Gebeng di sini menghala ke Kuantan.

“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian iaitu berhampiran depoh Alam Flora, motosikal mangsa dikatakan telah mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan secara mengejut.

“Tindakan itu (tukar laluan) menyebabkan sebuah kereta jenis Nissan Almera dari arah sama di lorong kanan tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal terbabit yang dinaiki kedua-dua mangsa,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, akibat kejadian kedua-dua mangsa telah tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tambahnya, pemandu kereta jenis Nissan Almera yang merupakan seorang wanita berusia 32 tahun mengalami sakit di bahagian dada.

Menurutnya mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan kecuaian penunggang motosikal yang mengubah haluan secara mengejut,” ujarnya.

Sumber : KMN

Share.

Leave A Reply