Seorang Lelaki Maut Motosikal Terbabas Sendiri, Rupanya Ini Puncanya.. | Seorang penagih dadah yang dipercayai berada dalam keadaan khayal maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sendiri di Kilometer 10.1, Lebuh Raya Ketereh – Kota Bharu di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 pagi itu, lelaki berusia 39 tahun yang menunggang motosikal jenis Jenis Yamaha Y15ZR meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang tidak bekerja dipercayai menunggang motosikal dari arah Ketereh ke simpang lampu isyarat Padang Enggang di sini melalui Lebuh Raya Ketereh.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, lelaki itu dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebelum terbabas sendiri.

“Lelaki itu tidak sedarkan diri selepas mengalami kecederaan parah pada kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan turut mendapati, mangsa dipercayai berada dalam keadaan khayal semasa sedang menunggang motosikal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Rosdi, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini untuk dibedah siasat.

Katanya, ujian saringan air kencing turut mendapati lelaki itu positif dadah jenis amphetamine, pensiklidin, dan ketamin.

“Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang gagal mengawal motosikalnya sehingga terbabas sendiri,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply